PONTIAN: Bayaran elaun untuk imam surau sebanyak RM100 sebulan bagi memastikan pengimarahan surau sentiasa berjalan terutama solat lima waktu adalah tidak setimpal dengan tugas dipikul.
Dalam masa sama, terdapat surau-surau yang melaksanakan solat Jumaat atau ‘Surau Jumaat’, namun mereka tidak menerima bayaran tambahan daripada pihak-pihak berkaitan.
Seorang imam surau di daerah ini yang enggan dikenali memberitahu, walaupun perkara ini pernah ditimbulkan 10 tahun lalu hingga kini keadaan masih tidak berubah.
Katanya, bayaran RM100 pun tidak dibayar pada setiap bulan, sebaliknya dikumpulkan empat atau lima bulan supaya kelihatan ‘banyak’ jumlahnya.
Menurutnya, bukan semua imam surau adalah pesara kerajaan yang mempunyai pencen mahupun pendapatan sampingan daripada kebun kelapa sawit atau rumah sewa.
“Sebab itu, ramai dalam kalangan mereka tidak hadir pada program-program anjuran pejabat agama Islam daerah mahupun pihak lain kerana tiada duit minyak untuk pergi. Berbanding imam-imam masjid yang mendapat elaun sebanyak RM850 sebulan dibayar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan elaun bulanan kepada bilal masjid sebanyak RM100 sebulan, diikuti noja masjid RM80, imam surau RM100 dan bilal surau RM50.
Ketika ini Johor mempunyai sebanyak 2,102 surau dan 814 masjid.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial tentang seorang imam muda di sebuah masjid di Negeri Sembilan yang mendakwa dirinya tidak mendapat gaji atau elaun setimpal.
Pemilik akaun Facebook Amin Sarif, Muhammad Amin Mohamad Sarif mendedahkan, ramai pihak menyangka gajinya RM3,000 sebulan, sedangkan realitinya tidak sampai RM1,000 sebulan.
“Saya hanya ditugaskan untuk datang memimpin solat lima waktu berjadual. Saya datang bertugas sebagai imam, lepas bertugas saya balik.
“Orang nampak mudah jadi imam. Masuk bertugas waktu solat dan ada banyak masa lapang, tapi hal-hal masjid, orang akan cari imam dulu. Nak buat bacaan yasin, tahlil, cari imam,” katanya. – UTUSAN










