Elak negara dilabel galak pemerdagangan manusia

Elak negara dilabel galak pemerdagangan manusia

JOHARI GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemasukan pekerja asing ke negara ini tanpa pekerjaan sah hanya memburukkan imej Malaysia di mata dunia sebagai menggalakkan pemerdagangan manusia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani berkata, kerajaan harus bertindak tegas dengan membincangkan dengan segera isu punca kuasa yang membabitkan beberapa kementerian khususnya Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Jika ejen pekerjaan yang sudah membawa pekerja ­asing ke dalam Malaysia tetapi me­nunggu untuk melihat dahulu syarikat mana yang akan mereka bekalkan pekerja, bermakna ejen ini sudah membuatnya sebagai sebuah perniagaan. Ini tidak boleh dibenarkan berle­luasa.

KUOTA

“Isunya di sini ialah ada beberapa syarikat meminta kuota pekerja asing tanpa benar-benar mempunyai sebarang peluang pekerjaan, mereka hanya cuba mencari wang dengan menjual kuota kepada syarikat lain.

“Ini disifatkan sebagai pe­merdagangan manusia atau buruh paksa. Ia menunjukkan seolah-olah ada syarikat pekerjaan yang cuba mengeksploitasinya sebagai perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pada 25 Disember lalu, sejumlah 171 warga Bangladesh ditahan ketika mereka hadir ke Balai Polis Bayu Damai di Kota Tinggi, Johor untuk membuat laporan terhadap ejen mereka yang didakwa gagal menyediakan pekerjaan yang dijanjikan.

Johari berkata, langkah pengambilan pekerja asing itu juga perlu diketatkan termasuk memberi kebenaran memohon tenaga kerja hanya kepada syarikat yang mendapat kuota pekerja asing sahaja.

Katanya, syarikat yang memohon kuota pekerja asing perlu memastikan wujudnya pekerjaan yang sedia untuk diisi sebaik sahaja pekerja tiba di Malaysia.

Katanya, jaminan itu pen­ting supaya pekerja asing tersebut tidak menjadi beban kepada negara ini.

“Lazimnya, pekerja miskin ini tidak mampu untuk pulang ke negara mereka dan akhir­nya menyerap sumber dari segi subsidi dan penjagaan kesihatan, selain juga menimbulkan masalah sosial yang lain.” ujarnya.

Beliau mencadangkan supaya denda RM30,000 bagi setiap seorang pekerja dikenakan terhadap majikan yang gagal menyediakan pekerjaan kepada warga asing yang dibawa masuk.

Mengenai bantahan Presi­den Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berhubung denda itu, Johari menegaskan bahawa mereka yang tidak mengeksploitasi pekerja asing tidak perlu bimbang.

“FMM tidak boleh menu­ding jari kerana agensi tidak boleh memohon kuota tanpa mendapat tuntutan daripada syarikat.

“Sekiranya ada bukti bahawa agensi menggunakan dokumen palsu untuk menambah kuota yang diminta, maka agensi berkenaan perlu dikenakan denda yang tinggi,” tegas­nya yang mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×