DAP uji Kerajaan Perpaduan?

DAP uji Kerajaan Perpaduan?

PEMIMPIN DAP harus akur bahawa rujukan asas kepada negara ini adalah Perlembagaan dan Rukun Negara jika mahu terus menjalin hubungan yang harmoni dengan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan khususnya Barisan Nasional dan UMNO. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan segelin­tir pemimpin DAP yang berterusan menyentuh perkara sensitif diibaratkan sebagai cubaan menguji Kerajaan Perpaduan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, namun, tindakan itu bukan sahaja boleh menggugat kestabilan politik tetapi menjejaskan hubungan antara kaum dan agama.

“Mereka ini boleh diibaratkan musuh dalam selimut yang sentiasa tidak puas hati dengan kea­daan yang ada (sedangkan) mereka sudah ada kuasa untuk memimpin.

PEMBANGKANG

“Bertindaklah sebagai pemim­pin kerajaan dan bukan bertindak seperti pembangkang.

“(Jadi) tidak boleh biar mereka bermaharajalela, kawal diri mereka terutama pemimpin yang tidak faham aspirasi dan Perlembagaan serta sistem negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, ada pemimpin DAP menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecahkan dominasi orang Melayu dalam sektor awam serta menyifatkan calon perdana menteri dibolehkan jika bukan dari bangsa Melayu.

Terbaharu, cadangan agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah selain pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

RISIKO

Mengulas lanjut, Jeneri yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, pemimpin DAP perlu lebih berhati-hati dan memahami kesan serta risiko yang boleh mencetuskan ketegangan hubungan kaum dan agama.

“Jelas mereka tidak sensitif terhadap bukan sahaja perasaan Me­layu Islam, tetapi kestabilan politik.

“Pemimpin DAP perlu lebih rasional dan waras serta teliti dengan mempertimbangkan implikasi dan kesan sebelum keluar kenya­taan,” katanya.

Sementara itu, Felo Kanan MPN, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berpendapat, cadangan sensitif yang bertalu-talu dilakukan oleh pe­mimpin DAP berkemungkinan untuk menilai reaksi orang Me­layu sebelum mereka melakukan sesuatu agenda yang lebih besar.

Katanya, reaksi itu penting dan jika ia tidak agresif seperti yang berlaku pada masa kini, maka barang kali ada perancangan besar.

TERKEJUT

“Hasrat mahu campur tangan dalam ehwal agama Islam itu sa­ngat berbahaya, boleh katakan orang Melayu terkejut bagaimana boleh ada satu usul yang kurang ajar.

“Mengapa ia bahaya? Kerana orang Melayu Malaysia adalah kelompok etno agama. Maknanya dalam kehidupan itu unsur agama paling penting banding bahasa, budaya adat resam mereka.

“Kalau usik bahasa Melayu, mungkin orang Melayu marah begitu sahaja, tetapi kalau usik agama… mereka sanggup bertindak yang kita tidak mahu lihat.

“Kalau berterusan, khuatir kon­flik terbuka seperti rusuhan dan sebagainya boleh berlaku sebab ia (kenyataan sensitif) dikeluarkan secara bertalu-talu,” katanya.

Beliau menambah, walaupun kenyataan sensitif itu dikatakan pendirian peribadi atau disalah tafsir serta tidak melambangkan pendirian parti, namun itu adalah alasan basi kerana kenyataan itu dibuat oleh pemimpin yang berpengaruh.

“Maknanya ia bukan dibuat oleh seorang pemimpin muda yang mentah yang tidak ada nama, tetapi datang dari pemimpin tinggi,” katanya.

GELISAH

Dalam pada itu, Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, DAP harus berhati-hati dengan sebarang kenyataan dibuat tanpa mengganggu gugat atau melahirkan sesuatu yang menimbulkan kegelisahan serta keresahan khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Selain itu, katanya, DAP juga harus akur bahawa rujukan asas kepada negara ini adalah Perlembagaan dan Rukun Negara, maka tidak wajar timbulkan keadaan tidak menentu sehingga boleh mempengaruhi hubungan kerjasama.

“Mereka harus akur ini bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi Kerajaan Perpaduan yang turut merangkumi musuh-musuh politik.

“Jika mahu berada dalam kerajaan, tata kelola itu perlu difahami sebaik mungkin dan ini tidak wajar sabotaj pemimpin tertentu baik dalam atau luar parti sehingga boleh menimbulkan keadaan yang sukar kepada parti yang sedang kerjasama dengan DAP.

“Dalam keadaan ini, DAP patut menjernihkan apa sahaja tanggapan atau label yang diberi selama sini melalui pelan tindakan menyeluruh dan bukan secara berterusan mengeluarkan kenyataan yang tidak digemari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN