Banjir di Johor hampir pulih, 78 mangsa masih di tiga PPS - Utusan Malaysia

Banjir di Johor hampir pulih, 78 mangsa masih di tiga PPS

SUKARELAWAN membantu membersihkan rumah yang terjejas banjir di Kampung Bunga Ros, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di negeri ini hampir pulih sepenuhnya apabila hanya tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi dengan menempat  78 mangsa daripada 20 keluarga  di Segamat dan Batu Pahat setakat pukul 8 pagi ini.. 

Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 164 mangsa daripada 37 keluarga di empat PPS setakat malam tadi.

“Kota Tinggi yang terjejas teruk akibat banjir sebelum ini sehingga kawasan bandar daerah itu tenggelam pulih sepenuhnya malam tadi susulan penutupan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Telor, Pasir Raja yang menjadi tempat perlindungan 86 mangsa daripada 17 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri memberitahu, seramai 63 mangsa daripada 17 keluarga masih berada di PPS di Balai raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Kampung Tasek di Segamat.

Di Batu Pahat pula, seramai 15 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS di SK Bukit Kuari, Ayer Hitam.

“Mengenai perkembangan terkini jalan yang terputus hubungan sebelum ini, Jalan Tanah Abang di Mersing hanya dibuka untuk kenderaan berat, manakala Lingkaran Kahang Barat di Kluang masih ditutup bagi semua kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan berlaku ribut petir di Segamat hari ini

Data terkini Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat berada pada paras bahaya, manakala Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan Sungai Paya Dato’, Mersing berada pada tahap amaran. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN