Aset ‘Raja Dadah Malaysia’  ditahan di Laos RM190 juta - Utusan Malaysia

Aset ‘Raja Dadah Malaysia’  ditahan di Laos RM190 juta

KAMARUDIN MD DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Aset seorang rakyat Malaysia yang digelar ‘Raja Dadah Malaysia’ yang ditahan di Laos pada 29 Disember lalu dianggarkan bernilai RM190 juta dengan sebahagian daripadanya sudah dilucutkan hak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, suspek berusia 41 tahun itu pernah ditahan sebelum ini di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316).

Menurut beliau, pihak berkuasa  pernah membuat rampasan aset suspek sewaktu peringkat awal penahanannya sebelum ini.

“Sebahagiannya (aset) sudah pun kita lucutkan hak dan ada yang kita sudah pulangkan semula (kepada suspek) dan nilainya, jika tidak silap saya, dalam RM190 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan seorang rakyat Malaysia yang dikehendaki di Thailand ditahan di Laos, ketika sedang bersembunyi di negara berkenaan kerana disyaki terbabit aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.

Pihak berkuasa Thailand melaporkan suspek menggunakan negara itu sebagai lokasi aktiviti pengubahan wang haram dan sebagai tempat transit untuk kegiatan penyeludupan dadah ke Malaysia, Taiwan dan Australia.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, buat masa ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiada perancangan bagi mengekstradisi suspek terlibat dan akan membiarkan kes berkenaan diselesaikan di Thailand terlebih dahulu.

“Kita belum lagi meneliti impak kegiatan penyeludupan dadah terutama di sempadan Malaysia selepas tertangkapnya suspek itu di Laos namun polis sentiasa mengambil tindakan menyeluruh ke atas aktiviti berkenaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN