Agong titah Anwar usah hiraukan ‘Langkah Dubai’

Agong titah Anwar usah hiraukan ‘Langkah Dubai’

ANWAR Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet di Istana Negara, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri tanpa menghiraukan sebarang percaturan politik.

Perdana Menteri berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika beliau menghadap Seri Paduka bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet hari ini di samping mengulas beberapa perkembangan semasa.

Kata Anwar, Seri Paduka juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

“Seri Paduka juga bertitah supaya saya selaku Perdana Menteri dan kerajaan Madani untuk meneruskan kerja me­ngurus negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, Anwar memaklumkan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi me­nyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet di Istana Negara.

Sebelum ini, wujud percaturan politik yang juga dinama­kan sebagai ‘Langkah Dubai’ iaitu satu cubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan yang dipercayai mahu dilaksanakan pada akhir bulan lalu.

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kewujudan Langkah Dubai itu, malah beliau mengakui maklumat berhubung rancangan ‘tebuk atap’ tersebut diperolehnya menerusi sumber perisikan.

Bagaimanapun, komplot diusahakan di bandar terbesar Emiriah Arab Bersatu itu yang sepatutnya dicapai pada 1 Januari lalu dikatakan gagal apabila ditolak oleh tokoh tertentu.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah di­salurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.

Perkara itu dipercayai me­rujuk dakwaan pihak tertentu yang mengatakan ada pihak cuba menggunakan politik wang untuk menjatuhkan kedudukan Anwar selaku pe­neraju kerajaan perpaduan hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN