26,667 pelajar di Perak terima bantuan makanan percuma

26,667 pelajar di Perak terima bantuan makanan percuma

SAARANI Mohamad (tengah) dan Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan (tiga dari kiri) bersama wakil syarikat milik kerajaan yang memberikan sumbangan kewangan bagi Program Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Ipoh, baru-baru ini. – IHSAN YAYASAN PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 26,667 calon peperiksaan awam 2023 di seluruh negeri menerima manfaat daripada Program Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisia­tif Tuisyen Cikgu Saarani.

Pengurus Besar Yayasan Pe­rak, Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, bantuan melibatkan 23,664 calon Sijil Pe­lajaran Malaysia (SPM), 2,933 calon Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan 70 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menurutnya, program yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 itu menyediakan bantuan makanan percuma selama 20 hari sepanjang peperiksaan, kelas tambahan dan tuisyen.

“Tahun ini program diteruskan untuk tahun ketiga. Pengisiannya masih dikekalkan iaitu makanan tengah hari kepada pelajar semasa kelas tambahan, kelas intensif dan tuisyen bermula cuti penggal ketiga 2023/2024 pada 15 Disember lalu hingga ke tarikh peperiksaan pada 21 Mac depan.

“Bagi memudahkan urusan penyediaan makanan, kantin sekolah dilantik sebagai pembekal makanan percuma dengan kadar RM5 sehari.

“Pihak sekolah sendiri menentukan pelaksanaan bantuan mengikut kesesuai­an hari dan jadual peperiksaan pelajar,’’ katanya.

Nasreen Khanum berkata, peruntukan RM2.67 juta disediakan di bawah program itu dengan Yayasan Perak dan Jabatan Pendidikan negeri menjadi penyelaras bersama untuk memastikan peruntukan disalurkan tanpa masalah.
Beliau berkata, program yang diperkenalkan kerajaan nege­ri pada 2021 itu menyasarkan pelajar dari keluarga B40.

Katanya, inisiatif kerajaan negeri itu mendapat sokongan kewangan daripada syarikat milik kerajaan negeri (GLC) iaitu Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri dan MB Incorporated.

“Setiap tahun, semua GLC tersebut menyediakan sumbangan kewangan berjumlah RM3.4 juta bagi tujuan program ini dan beberapa komponen lain di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan statistik peperiksaan SPM 2022, program bantuan makanan percuma itu membantu meningkatkan tahap pencapaian dalam semua peperiksaan awam di sekolah-sekolah terlibat.

Katanya, terdapat sekolah mencatat peratusan pelajar la­yak sijil SPM 2022 meningkat di antara 30 hingga 56 peratus berbanding keputusan peperiksaan percubaan.

“Program ini meningkatkan pencapaian keseluruhan negeri bagi peratus layak sijil SPM kepada 90.1 peratus tahun lalu.

“Program ini turut merapatkan jurang pencapaian akademik antara sekolah luar bandar dan bandar selain meringankan bebanan ibu bapa yang mempunyai tanggungan besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN