KANGAR: Polis bersama agensi penguatkuasaan lain di negeri ini memberi tumpuan menerusi operasi bersepadu bagi mengekang jenayah sempadan khususnya bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah, minyak subsidi, ketum, pemerdagangan manusia dan lain-lain.
Dalam tempoh dua minggu operasi bermula 16 sehingga 29 Disember lalu, sebanyak 22 individu berusia 19 sehingga 74 tahun ditahan membabitkan pelbagai kesalahan.
Hasil rampasan dalam tempoh berkenaan sebanyak RM1.07 juta membabitkan 12 pikap (RM978,100), dua motokar (RM92,000), 1,400 liter minyak petrol (RM2,870), 981.5 liter minyak diesel (RM2,153) peralatan mengisi minyak (RM380) dan 69 kilogram minyak masak subsidi (RM172).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain di kawasan Padang Besar dan sempadan Malaysia-Thailand.
KEKUATAN
Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan kekuatan seramai 113 pegawai dan anggota dari setiap bahagian serta cawangan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar termasuk agensi penguatkuasaan seperti Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
“Polis telah menempatkan beberapa lokasi yang mana disyaki tempat berlakunya aktiviti penyeludupan di sempadan ini. Pelaksanaan operasi bersepadu selama dua minggu itu dibahagi kepada dua fasa di mana fasa pertama bermula 16 sehingga 22 Disember manakala fasa dua 25 sehingga 29 Disember.
“Dalam tempoh dua minggu itu, kita berjaya membuat tangkapan 22 individu membabitkan 17 lelaki dan lima perempuan. Ia masing-masing melibatkan enam lelaki tempatan, 11 lelaki serta lima wanita warga Thailand.
“13 individu melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tiga individu (Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961), seorang individu (15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952), seorang individu (15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Bahan Kakisan, Senjata dan Letupan (memiliki senjata berjadual) serta tiga individu melibatkan tangkapan individu dikehendaki di bawah 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- UTUSAN










