PETALING JAYA: Hasil analisis beberapa rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik penduduk yang diterima polis mengesan pergerakan tetapi belum dapat dipastikan sama ada pergerakan individu atau objek lain.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, pihaknya masih meneliti rakaman berkenaan untuk benar-benar pasti dengan pergerakan tersebut yang mungkin boleh membantu pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.
“Memang ada pergerakan (terakam) pada dashcam, namun kita perlu pertingkatkan video (supaya lebih jelas) sama ada individu atau objek lain,” katanya.
Difahamkan sesetengah kenderaan yang enjin tidak hidup tetapi dashcam masih berfungsi.
Kata beliau, pihaknya juga mendapatkan bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membantu menyedut keluar takungan air di lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan.
“Betul kita minta bantuan JPS hari ini (semalam) bagi melihat dalam takungan itu sama ada wujud sebarang bukti baharu, tetapi setakat ini tiada penemuan apa-apa.
“Polis masih berusaha bagi mengumpul lagi keterangan dan risikan untuk mengenal pasti suspek,” jelasnya.
PROSES
Mengulas pemeriksaan polis di blok lain semalam, Hussein berkata, proses berkenaan adalah sebahagian daripada mass screening.
“Keputusan ujian DNA beramai-ramai) penduduk Apartmen Idaman, Damansara Damai, dijangka diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga hari.
“Jumlah keseluruhan sampel DNA yang diambil ialah 228 sampel,”katanya.
Dalam pda itu, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini masih meneruskan siasatan.
Tinjauan di lokasi mendapati sepasukan anggota polis bersama Unit Forensik dipercayai dari Polis Kontinjen Selangor tiba di lokasi pukul 11.45 pagi.
Difahamkan, kehadiran mereka bagi meneruskan siasatan bagi mencari bukti dan petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan kes itu.
Turut dilihat berada di lokasi adalah kakitangan JPS Selangor.
Kerja mengepam air kedengaran bermula sekitar pukul 12.20 tengah hari dan ketika ini keadaan di lokasi hujan lebat.
Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya kira-kira pukul 10 malam selepas dilaporkan hilang oleh ibunya.- UTUSAN










