Ular sawa 75 kg ditangkap tepi rumah penduduk

Ular sawa 75 kg ditangkap tepi rumah penduduk

ANGGOTA APM Gua Musang berjaya menangkap ular sawa batik yang berada dalam semak berhampiran rumah penduduk di Felda Chiku 1, Gua Musang, Kelantan hari ini.-IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang menangkap seekor ular sawa batik seberat 75 kilogram (kg) yang berada dalam semak berhampiran sebuah rumah di Felda Chiku 1, di sini hari ini.

Pegawai APM daerah Gua Musang, Mohd. Hanafi Mohd. Bokri berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang penduduk kira-kira pukul 10.23 pagi tadi.

Menurutnya, seramai enam orang anggota APM bergegas ke rumah pengadu yang terletak lebih 30 kilometer (km) dari Bandar Gua Musang.

“Setibanya di lokasi, anggota APM mendapati seekor ular sawa batik sepanjang lima meter berada di dalam semak berhampiran rumah pengadu.

“Anggota yang terlibat mengambil masa lebih 30 minit untuk menangkap ular sawa berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Hanafi memberitahu, ular sawa batik itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Katanya, ular sawa berkenaan merupakan reptilia paling berat yang berjaya ditangkap pihaknya pada tahun ini.

“Justeru, orang ramai yang tinggal di kawasan berhampiran hutan atau semak dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutamanya ketika cuaca hujan.

“Haiwan berbisa kebiasaannya akan keluar dan berada di kawasan rumah penduduk sehingga boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak diingini,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN