Tiga lelaki termasuk remaja Orang Asli ditahan, disyaki edar dadah - Utusan Malaysia

Tiga lelaki termasuk remaja Orang Asli ditahan, disyaki edar dadah

BARANG kes berkaitan dadah yang dirampas polis Temerloh dalam Op Tapis di Kampung Paya Luas, Kuala Krau, Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Polis daerah ini menahan tiga lelaki termasuk remaja Orang Asli kerana disyaki penagih dadah dan mengedar bahan terlarang itu dianggarkan bernilai RM2029.20 dalam Op Tapis pukul 11 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, tiga suspek terbabit ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sebuah pondok Kampung Paya Luas, Kuala Krau.

“Suspek pertama berusia 26 tahun seorang penganggur dari Kampung Paya Luas, Kuala Krau. Ujian saringan awal positif dadah jenis methamphetamine.

“Seorang lagi suspek berusia 20 tahun seorang penganggur dari Kuala Krau dan ujian saringan awal air kencing juga mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek ketiga, remaja Orang Asli berusia 17 tahun dari Kampung Sungai Kiol, Jerantut. Dia juga positif dadah jenis methamphetamin menerusi ujian saringan awal,” katanya kepada pemberita di sini.

Mazlan berkata, polis turut merampas sebuah beg mengandungi barang kes semasa serbuan yang disyaki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu.

“Rampasan membabitkan satu peket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan warna putih disyaki dadah jenis heroin dan empat peket plastik lutsinar setiap satunya berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu.

” Ketiga-tiga suspek boleh disabitkan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A( 1) dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya