PETALING JAYA: Orang ramai perlu menerima hakikat terpaksa hidup bersama virus Covid-19 dengan melakukan langkah-langkah kawalan kendiri termasuk mengambil vaksin sebagai pelindung mengelakkan risiko kesihatan berpanjangan.
Ekoran angka korban akibat Covid-19 menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua bulan lalu daripada 12 kes pada Oktober bertambah kepada 22 kematian dalam bulan November dan terkini kepada 28 kes pada Sabtu lalu sekali gus mengingatkan masyarakat untuk mengambil langkah sewajarnya seperti penularan wabak itu sebelum ini.
SEKELILING
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Virologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Nazlina Ibrahim berkata, orang ramai perlu menerima hakikat virus Covid-19 masih berada di sekeliling dan sentiasa merebak melalui sebaran udara.
Justeru, menurut beliau, langkah kawalan kendiri seperti pernah dilalui 33 juta rakyat pada awal 2020 perlu diteruskan terutamanya ketika berada di kawasan sesak dan sempit.
Selain itu, katanya, paling penting untuk mengambil vaksin termasuk dos penggalak khususnya dalam kalangan berisiko tinggi yang mudah terdedah kepada komplikasi lain sehingga membawa kematian jika dijangkiti Covid-19.
“Sistem imunisasi akan menurun antara tempoh enam dan 12 bulan selepas mengambil vaksin. Jadi suntikan ini amat penting sebagai pelindung kepada mana-mana masyarakat untuk menghadapi komplikasi lain kerana ancaman virus ini.
“Selain saranan suntikan dos penggalak, orang ramai diminta melakukan pemakaian pelitup muka dan menjaga kebersihan. Ini paling utama dan bukan asing bagi kita kerana pernah melakukannya sepanjang lebih dua tahun berdepan pandemik Covid-19,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan jumlah rakyat mengambil dos penggalak atau suntikan vaksin Covid-19 yang ketiga dan keempat masih terlalu rendah sekali gus mendedahkan negara dengan risiko kesihatan awam berpanjangan walaupun jangkitan menyaksikan peningkatan kepada 20,696 kes untuk tempoh 10 hingga 16 Disember lalu.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi laman sesawang KKMNOW, kadar pengambilan suntikan vaksin keempat atau dos penggalak kedua hanya 2.5 peratus atau 828,338 orang iaitu rendah sejak mula dibuka kepada orang ramai pada April 2022.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, kaedah pencegahan biasa seperti memakai pelitup muka di tempat sesak, menjalankan ujian Covid-19, sanitasi dan kuarantin kendiri harus terus dilaksanakan berbanding saranan dos penggalak ketiga. – UTUSAN










