PETALING JAYA: Keluarga kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemukan maut dibunuh di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember lalu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis menjejak pelaku.
Datuk kepada kanak-kanak malang itu, Zahari Mohd. Reba, 55, ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia yakin dengan kepakaran pihak polis dalam mengendali kes dan menjejak pembunuh cucu sulungnya itu.
“Kita serahkan semuanya kepada pihak polis dan besar harapan kami sekiranya pelaku itu (pembunuh) dapat ditahan demi keadilan buat Zayn,” katanya semalam.
Menurut Zahari, sejak kematian cucunya itu, suasana di rumah tidak lagi meriah.
Katanya, ibu bapa kepada kanak-kanak itu juga masih lagi dalam fasa bersedih dan memerlukan ruang daripada bertemu dan ditemu bual pihak media.
“Mereka buat masa ini masih tinggal di rumah kami buat sementara waktu. Sehingga bila tidak dapat dipastikan dan kalau boleh biar mereka di sini.
“Saya difahamkan juga, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada bertemu ibu dan bapa Zayn hari ini (semalam), tidak pasti atas urusan apa. Mungkin untuk kaunseling,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, tiada perkembangan dalam operasi mencari bukti pembunuhan kanak-kanak itu yang memasuki hari ke-15 semalam.
“Tiada perkembangan buat masa ini. Akan kongsi jika ada,” kata beliau ketika dihubungi.
Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman. – UTUSAN










