PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan penstrukturan semula barisan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan dengan merombak beberapa portfolio selain memperkenalkan kementerian baharu, hari ini.
Rombakan tersebut menyaksikan beberapa menteri sedia ada dalam Kabinet bertukar portfolio, memperkenalkan muka baharu di kementerian sedia ada atau memimpin kementerian baharu.
Difahamkan, Perdana Menteri akan membuat pengumuman barisan Kabinet baharunya melalui satu sidang akhbar sekitar pukul 11 pagi ini.
Selepas pengumuman tersebut, satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, majlis angkat sumpah akan diadakan di Istana Negara pada pukul 2.30 petang ini.
“Perdana Menteri akan melakukan penstrukturan semula barisan jemaah menterinya, pada masa sama menambah menteri dan timbalan menteri baharu tetapi tidak banyak.
“Selain itu, akan ada rombakan portfolio menteri sedia ada membabitkan beberapa kementerian,” kata sumber yang enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.
Setakat ini, Kerajaan Perpaduan memiliki satu kekosongan jawatan menteri iaitu di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
MENGGALAS
Rombakan tersebut dilakukan selepas setahun Anwar menggalas tugas sebagai Perdana Menteri bagi mengukuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, satu sumber dekat dengan pihak Istana mengesahkan bahawa satu majlis angkat sumpah membabitkan menteri dan timbalan menteri akan diadakan di Istana Negara pada pukul 2.30 petang.
“Semua persiapan sudah disiapkan oleh bahagian protokol Istana Negara namun tidak pasti berapa ramai menteri dan timbalan yang akan mengangkat sumpah,” katanya.
Sumber berkata, berdasarkan protokol Istana Negara, menteri sedia ada yang bertukar portfolio tidak perlu mengangkat sumpah sebaliknya hanya membabitkan menteri dan timbalan yang baharu dilantik.
“Sekiranya ada timbalan menteri yang sudah mengangkat sumpah sebelum ini dilantik menjadi menteri penuh beliau juga tidak perlu lagi berbuat demikian,” katanya.
Perdana Menteri ketika dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui sebuah syarikat televisyen swasta pada 5 Disember lalu berkata, rombakan Kabinet perlu dilakukan sekiranya prestasi seseorang menteri itu meleset atau berdasarkan keadaan tertentu yang menuntutnya untuk berbuat demikian.
PERUBAHAN
Anwar dilaporkan berkata, beliau akan membuat sedikit perubahan berdasarkan pengalaman setahun Kerajaan Perpaduan dengan rombakan akan dilakukan termasuk menambah portfolio kementerian jika perlu.
Susulan itu ada khabar angin bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan akan diwujudkan semula malah perkara tersebut pernah dicadangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini media membuat pelbagai spekulasi mengenai rombakan Kabinet dengan mengaitkan beberapa nama besar dalam komponen Barisan Nasional (BN) untuk kembali dilantik sebagai menteri termasuk Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Turut bertiup kencang kononnya Ahmad Zahid akan memegang semula portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri menggantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Selain itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari iaitu Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkifly Ahmad antara nama-nama yang disebut bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Salahuddin.
Pada masa sama, terdapat gesaan supaya Anwar yang turut memegang portfolio kewangan melantik Menteri Kewangan kedua bagi membolehkan beliau memberi lebih tumpuan kepada tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.- UTUSAN









