PRK Kemaman: Isyarat jelas rakyat Terengganu tolak BN-PH - Ahmad Samsuri - Utusan Malaysia

PRK Kemaman: Isyarat jelas rakyat Terengganu tolak BN-PH – Ahmad Samsuri

AHMAD Samsuri Mokhtar (kiri) menang PRK Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi lebih 10,000 berbanding keputusan PRU15 lalu. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kemenangan majoriti besar Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman isyarat jelas rakyat Terengganu terus menolak gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini rendah, namun majoriti diperoleh Pas lebih besar jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Target (sasaran majoriti) ditetapkan dalam kalangan pimpinan (Pas) ialah 30,000 (undi), 37,220 ini melebihi.

“Kita jangka keluar mengundi itu sekitar 72 hingga 74 peratus. Walaupun tidak mencapai target (sasaran) atas pelbagai sebab, Alhamdulillah peratus (majoriti) diterima parti (Pas) lebih daripada jangkauan kita,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman di sini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memperoleh 64,998 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, 27,778 undi.

Seramai 65.76 peratus atau 92,776 pengundi daripada 141,790 pemilih berdaftar turun menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK Parlimen Kemaman, semalam.

Pada PRU15, penyandang kerusi Parlimen itu dari Pas, Alias Che Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam saingan empat penjuru.

Alias berjaya menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab. Ghani hanya memperoleh 506 undian.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berharap semua pihak mengambil iktibar keputusan PRK Parlimen Kemaman yang terpaksa diadakan semula ekoran petisyen dikemukakan BN.

Beliau berazam menjadikan Dewan Rakyat sebagai platform untuk menyuarakan isu-isu berkepentingan dengan rakyat negeri ini terus ke peringkat Persekutuan.

“Insya-Allah ada perkara-perkara berkait bukan sahaja dengan Parlimen Kemaman tetapi negeri Terengganu sendiri.

“Saya juga boleh bersama ahli-ahli parlimen lain (bersuara) untuk kesejahteraan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya