RANTAU PANJANG: Polis menerima sebanyak 102 laporan berkait banjir melibatkan kerosakan rumah, haiwan ternakan dan tanaman penduduk yang terjejas dengan musibah berkenaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan tersebut diterima daripada mangsa yang terjejas semasa gelombang pertama dan kedua banjir di Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah selain beberapa daerah lagi.
“Setakat ini, tiada laporan mengenai kejadian pecah rumah ketika mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Polis sentiasa menjalankan pemantauan, rondaan berkala di kawasan terjejas banjir bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk,” katanya kepada pemberita ketika melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2, di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, sehubungan itu, penduduk tidak perlu bimbang meninggalkan rumah mereka dan sekiranya perlu berpindah ke PPS.
Katanya, bagaimanapun, situasi banjir di Rantau Panjang ketika ini dilihat semakin pulih apabila air bah di kebanyakan kawasan sudah surut.
“Keadaan paras air Sungai Golok berada pada paras bertahan tetapi, ia masih menunjukkan bacaan bahaya.
“Kebiasaannya, apabila banjir di Rantau Panjang surut, kebanyakan kawasan di Tumpat pula akan dinaiki air. Kali ini, Tumpat tidak banjir meskipun Rantau Panjang sudah dua kali dilanda bah,” ujarnya.-UTUSAN










