PM: Bantuan banjir di Kelantan RM50 juta - Utusan Malaysia

PM: Bantuan banjir di Kelantan RM50 juta

ANWAR Ibrahim melawat mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kerajaan mengumumkan bantuan awal RM50 juta kepada Kelantan yang akan diagihkan RM1,000 kepa­da setiap keluarga mangsa banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu akan diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Ia (bantuan) ini disalurkan terus kepada mangsa terlibat. Ini merupakan peruntukan awal kepada penduduk yang terjejas.

“Peruntukan tambahan akan diberikan selepas kita mengenalpasti kerosakan dan kerugian yang disahkan oleh pegawai-pegawai bertugas,” kata beliau selepas menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SMK) Agama Lati di sini semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau difahamkan ada antara mangsa yang sudah tiga kali berpindah selepas rumah mereka ditenggelami banjir.

Menurut beliau, mangsa-mangsa tersebut mengalami kerugian yang banyak akibat musibah itu.

Perdana Menteri berkata, bagi mengatasi masalah tersebut Pusat turut mengumumkan lima projek baharu bernilai RM910.5 juta bagi mengatasi masalah banjir yang melanda Kelantan setiap tahun.

RAKYAT

Beliau berkata, keutamaan itu diberikan berikutan rakyat Kelantan terpaksa menanggung kesan yang besar akibat bencana alam itu berbanding negeri-negeri lain.

Menurut Anwar, kesemua lima projek baharu ini akan bermula pada awal tahun hadapan.

“Pada masa sama, kerajaan konsisten untuk meneruskan 18 projek yang sedang dalam pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bermula sekarang sehingga tahun hadapan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.42 bilion.

“Untuk makluman, sebahagian daripada projek itu akan disiapkan lebih awal dan terdapat dua lagi projek baharu yang akan dilaksanakan mulai bulan depan iaitu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 3 dan PLSB Sungai Kelantan Fasa 2,” kata beliau.

Anwar berkata, unjuran projek-projek dilaksanakan perlu juga melihat kepada keupayaan kerajaan kerana ia melibatkan perbelanjaan besar termasuk kelulusan RM800 juta untuk PLSB Rantau Panjang Fasa 2.

Kata beliau, kerajaan negeri kini diminta mempercepatkan proses pengambilan tanah.

Bagaimanapun, katanya, projek tebatan banjir akan diberikan keutamaan kerajaan kerana projek itu melibatkan keperluan yang menekan dan perlu disegerakan.

PROJEK_PROJEK

“Kadang-kadang pelaksanaan projek-projek ini perlu dibuat mengikut fasa tetapi mengikut pendekatan kerajaan pada hari ini hal-hal melibatkan kemiskinan tegar, tandas sekolah, perumahan tentera, polis serta pegawai kerajaan dan tebatan banjir kita beri keutamaan.

“Kalau ini menyebabkan kita terpaksa menangguhkan projek-projek lain, maka kita tangguh kerana isu ini (tebatan banjir) merupakan isu yang menekan hidup rakyat,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan segera berjumlah RM6 juta bagi membaikpulih kerosakan benteng dan membina terowong air di PLSB Sungai Golok di Rantau Panjang.

Menurut beliau, kerja-kerja membaik pulih benteng yang pecah itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta.

“Baki selebihnya daripada peruntukan itu akan digunakan bagi membina terowong air di dua lagi lokasi,” kata beliau.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, penduduk Rantau Panjang yang kerap terkesan dengan banjir mendesak kerajaan membina lebih banyak terowong air di PLSB bagi mengatasi masalah banjir termenung setiap kali musim tengkujuh.

Dakwa penduduk, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa berlindung lebih lama PPS sekali gus mengundang rasa kurang selesa.

Pada masa sama, mereka mendakwa turut berdepan masalah penyakit kulit apabila terpaksa mengharungi banjir termenung setiap mahu pulang untuk melihat keadaan rumah.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd. Ariffin Ismail berkata, langkah membina terowong tersebut dilihat mampu mengurangkan kesan banjir yang terpaksa dihadapi oleh penduduk di lebih 10 buah kampung sementara menunggu projek tersebut siap sepenuhnya.

Menurutnya, jika tiada usaha segera berkemungkinan besar lebih banyak kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN