KUALA KRAI: Penduduk di Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang di sini resah selepas seekor gajah liar merosakan tanaman mereka sejak Jumaat lalu.
Susulan itu, penduduk mendakwa mereka kerugian ribuan ringgit selepas tanaman seperti kelapa sawit, kelapa dan getah dirosakan haiwan berkenaan.
Seorang penduduk Mohd. Zahari Yaakob, 63, sejak kehadiran ‘orang besar’ itu mereka terpaksa berwaspada setiap kali turun ke kebun.
“Biasanya saya akan membawa golok untuk dijadikan sebagai senjata bagi mempertahankan diri sekiranya berdepan ancaman haiwan liar.
“Ini merupakan kali pertama haiwan liar itu ‘munculkan diri’ sejak kami menetap di sini ,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk Samuin Awang, 56, berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini.
Katanya, hal ini kerana lokasi kejadian dengan penempatan penduduk hanyalah 200 meter sahaja.
“Sejak kehadiran gajah itu, penduduk di sini tidak tenteram memikirkan keselamatan setiap kali keluar menoreh,” ujarnya.
Sementara itu, Mazlan Setapa, 56, berkata, lebih 60 pokok kelapa sawit miliknya telah musnah selepas dirosakan haiwan berkenaan pada Sabtu.
Katanya, ketika ini dia masih belum dapat membuat taksiran berkait dengan kerugian yang dialami akibat kejadian itu.
“Saya sudah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN