PUTRAJAYA: Peratusan minat pelajar kepada aliran pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kembali pulih selepas pelbagai anjakan dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyelesaikan masalah itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, berdasarkan data-data terbaharu setelah pihaknya melaksanakan pelbagai anjakan menunjukkan sudah ada trek rekod yang sangat baik berdasarkan sasaran nisbah 60 peratus pelajar mengambil aliran sains dan 40 peratus aliran sastera.
“Negeri Perlis sedang mendahului dengan nisbah 60:40 dan yang sedang mengejar adalah Kuala Lumpur dengan nisbah 58:42. Kita lihat menjelang tahun hadapan akan ada beberapa negeri lain akan melakukan lonjakan itu,” katanya ketika temubual eksklusif dengan Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan STEM Kebangsaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Noraini Idris baru-baru ini bahawa seramai 500 guru di seluruh negara dilantik dan dilatih untuk modul bidang STEM sejak tiga tahun lalu yang bertujuan untuk menjadikan mereka ‘STEM Star Teacher’.
Noraini berkata, KPM juga telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif untuk membuat perubahan sebagai usaha meningkatkan minat dan peratusan penyertaan pelajar dalam bidang STEM setelah teknik pengajaran dan pembelajaran lama dikatakan tiada variasi dan tidak praktikal.
KPM melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 juga memberi penekanan terhadap meningkatkan minat murid menerusi pendekatan pembelajaran baharu, pemantapan kurikulum serta kemahiran para guru STEM serta memberi kesedaran dalam kalangan murid, ibu bapa dan orang awam mengenai pentingnya aliran itu.
ISU
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM yakin dapat menoktahkan terus isu terbabit dengan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberikan penekanan kepada keseronokan belajar dan kurikulum bersepadu.
“Kurikulum baharu ini sangat penting kerana STEM itu akan menjadi sebahagian daripada tumpuan dan juga diangkat dalam kompetensi kurikulum bersepadu.
“Makna kurikulum bersepadu adalah dalam waktu belajar ini, pelajar boleh buat semua, muzik campur dengan sains mungkin, bahasa Inggeris campur dengan matematik mungkin dan bahasa Melayu campur dengan seni juga mungkin.
“Mata pelajaran bersepadu itu boleh diletakkan dalam satu waktu dan ini adalah satu trend di mana negara-negara lain pun telah memberikan ruang kepada pelajar untuk mengambil bahagian yang lebih dalam kelas, lebih aktif dan pada masa sama juga menggunakan kemahiran digital,” katanya.
Beliau berkata, KPM juga berharap komitmen menarik minat pelajar kepada STEM itu harus datang daripada kementerian-kementerian lain.
“Ini juga termasuk kerjasama yang sedang kita laksanakan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang bagi saya akan menyemarakkan lagi ekosistem STEM ini,” katanya. – UTUSAN
Wawancara penuh di muka surat 16 dan 17










