PETALING JAYA: Pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu seiring dengan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber bagi memastikan isu kecurian dan penggodaman maklumat rakyat boleh ditangani dengan lebih menyeluruh.
Buat masa ini RUU itu belum dibentangkan di Parlimen apatah lagi dikuatkuasakan dan hanya akan dilakukan tahun depan, sedangkan PADU yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap bakal dilancarkan 2 Januari ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, meskipun negara mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 namun undang-undang itu hanya terpakai untuk organisasi swasta dan bukannya kerajaan khususnya membabitkan simpanan data di bawah agensi kerajaan.
Menurut beliau, buat masa kini tiada satu undang-undang khusus yang berupaya memastikan sebarang isu dan kelompongan simpanan data agar dapat dikekang sekali gus memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mencuri dan menggodam maklumat orang awam.
“Tidak dinafikan PADU terlalu penting bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan termasuk menyediakan profil isi rumah paling tepat bagi penyasaran semula subsidi, namun ia perlu disertakan dengan jaminan kerajaan termasuk satu undang-undang khusus agar tiada pihak mengambil peluang untuk melakukan jenayah siber.
“Jadi ia perlu seiring dengan RUU Keselamatan Siber yang akan menjadi game changer (pengubah keadaan) kerana boleh meningkatkan kemampuan dan memperkukuh ekosistem keselamatan siber di Malaysia secara menyeluruh untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin,” katanya ketika dihubungi semalam.
DATA
PADU satu pangkalan data bersepadu menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi gambaran seadilnya kedudukan sosioekonomi setiap isi rumah rakyat akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa ini.
Menerusi mekanisme itu, ia menjadi komponen utama penyasaran semula subsidi dan bantuan kerajaan bagi membolehkan peralihan daripada pendekatan B40-M40-T20.
Dalam pada itu, Siraj berkata, soal integriti adalah penting kerana tanpa amalan tersebut, ia boleh mencetuskan kebimbangan orang ramai kerana mungkin wujud pihak kedua membocorkan data kepada pihak ketiga khususnya penjenayah siber.
Katanya, isu kecurian data kerajaan bukan baharu kerana berlaku sebelum ini sekali gus menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan sistem simpanan maklumat di bawah agensi-agensi kerajaan.
“Namun kita tidak boleh dijadi alasan untuk menghalang kerajaan mengumpul data, tanpanya mungkin usaha penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpandukan data tidak dapat dilaksanakan.
“Namun pelaksanaannya perlu ada jaminan untuk memastikan tiada kecurian dan penggodaman maklumat rakyat. Hal ini kerana data peribadi ini amat sentitif dan mudah menarik kelompok penjenayah siber yang mahu status kewangan orang ramai,” katanya.
Justeru, kata Siraj, rakyat dan kerajaan perlu menggembleng peranan dan bertanggungjawab terhadap insiden keselamatan siber termasuk masing-masing menitikberatkan soal integriti dengan tidak membocorkan data kepada pihak luar. – UTUSAN










