SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengalu-alukan sekiranya terdapat perancangan dan usaha mengembalikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelaksanaan semula projek berkenaan pastinya memberikan impak ekonomi yang baik kepada Negeri Sembilan.
“Negeri Sembilan sentiasa mengalu-alukan dan kerajaan negeri tidak pernah membatalkan tapak (stesen) dan jajaran sedia ada. Memang kita rancang sebuah bandar yang baharu di kawasan tersebut, memang ia merupakan satu perkara yang perlu disegerakan bagi memastikan pembangunan negara dan negeri lebih cepat dan saya yakin ia memberi manfaat kepada negeri ini.
“Ia perkara yang baik bagi memastikan bahawa rakyat mendapat kemudahan pengangkutan awam yang blebih baik dan maju dan kita berharap ini akan memudahkan hubungan di antara kedua-dua negara dan perhubungan di antara negeri yg ada di selatan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Careplus Mall di Seremban 2 di sini hari ini.
Berdasarkan perancangan sebelum ini, Seremban merupakan salah satu daripada tujuh buah stesen HSR yang bakal dibina bagi projek yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu.
Jajaran landasan di Negeri Sembilan membabitkan laluan sepanjang 52 kilometer manakala stesen HSR Seremban dicadang dibina di Labu, Nilai di sini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam temu bual eksklusif dengan The Straits Times Singapura baru-baru ini bertitah mahu projek tersebut dihidupkan semula.
Menurut baginda, projek HSR itu boleh dibiayai melalui inisiatif kewangan swasta di mana kerajaan membayar kontraktor untuk mengendalikan projek menerusi kaedah pajakan 30 tahun supaya kontraktor boleh mendapatkan balik modal dikeluarkan, sebelum kerajaan mengambil alih semula pemilikan HSR.-UTUSAN.