Misi Amanah lawan gelombang hijau

Misi Amanah lawan gelombang hijau

PEMILIHAN Parti Amanah pada hujung minggu ini disifatkan sebagai misi penting bagi setiap perwakilan dalam membentuk kepemimpinan yang mantap dan mampu melawan gelombang hijau parti lawan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Parti Amanah memerlukan barisan kepimpinan baharu yang mampu melawan gelombang hijau Pas dan Perikatan Nasional (PN) menerusi pemilihan parti pada 23 dan 24 Disember ini.

Kira-kira 1,100 perwakilan mewakili sayap, negeri dan kawasan akan membuat pemilihan kali ini bagi memilih 27 ahli jawatankuasa pimpinan nasional daripada 102 calon yang bertanding.

Susulan pemergian Timbalan Presiden Amanah, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub enam bulan lalu, timbul persoalan sama ada wujud pengganti yang sesuai atau pimpinan tertinggi parti ini memerlukan nafas baharu bagi membantu Datuk Seri Mohamad Sabu me­nerajui parti serta kerajaan.

GANTI

Namun, persoalan lebih besar sama ada Amanah mampu menggantikan Pas sebagai parti yang bertunjangkan perjuangan Islam di masa akan datang kerana sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setahun lalu, gelombang hijau masih belum reda.

Ini dibuktikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam ne­geri apabila Pas terus menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah malah memenangi lebih banyak kerusi di Pulau Pinang (tujuh), Selangor (10) dan Ne­geri Sembilan (tiga) berbanding Amanah hanya satu kerusi di Pulau Pinang, lima di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.

Begitu juga dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Terengganu dan Parlimen Kemaman yang terus dikuasai oleh Pas namun Amanah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Keputusan pilihan raya sebelum ini menunjukkan Amanah masih mampu untuk memenangi kawasan bandar terutama meliputi pengundi campuran tetapi bukan di kawasan bandar dan luar bandar jika pengundi majoriti Melayu.

Memandangkan Amanah bia­sanya akan bertanding di kerusi majoriti Melayu, parti itu juga perlu bersaing dengan UMNO untuk mendapatkan kerusi dipertandingkan jika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terus bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.

Oleh itu, Amanah perlu membuktikan ia bukanlah sebuah parti yang masih baharu atau kecil atau sekadar parti serpihan Pas, tidak boleh lagi dilihat terlalu bergantung kepada PKR dan DAP malah dapat melawan perwatakan pemimpin-pemimpin Pas yang jauh lebih menyerlah ketika ini.

Amanah hanya mempunyai tempoh dua hingga tiga tahun sahaja lagi sebelum berdepan pilihan raya dengan Sabah pada 2025 manakala Melaka dan Sarawak pada 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN