PETALING JAYA: Malaysia memerlukan lebih ramai pakar kanser atau onkologi berikutan peningkatan lebih 50 peratus pesakit serta kadar kematian akibat penyakit itu dalam tempoh 10 tahun iaitu 2012 hingga 2022.
Daripada 80 pakar onkologi yang berkhidmat pada 2015, bilangan itu hanya meningkat kepada sekitar 130 orang pada tahun ini sedangkan Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 300 pakar onkologi berdasarkan kepada kes-kes kanser yang diterima.
Menerusi data Persatuan Onkologi Malaysia pula, negara hanya mempunyai 54 buah hospital yang mempunyai pusat kanser termasuk Institut Kanser Negara serta cuma ada sebuah klinik onkologi namun tiada pusat kanser di Perlis dan Terengganu.
Di Kedah, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan mempunyai sebuah pusat kanser.
Kekurangan itu tidak sepadan dengan bilangan pesakit kanser seramai 237,553 yang dilaporkan dari 2012 hingga 2022 dengan sejumlah 127,252 kematian dalam tempoh sama.
Kadar kematian kasar dalam tempoh tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 56.5 peratus iaitu dari 31.3 kematian bagi setiap 100,000 penduduk pada 2012 kepada 49.0 kematian bagi setiap 100,000 penduduk pada 2021.
Susulan pertambahan pesakit kanser, Kementerian Kesihatan dilaporkan merekodkan sebanyak RM1.34 bilion dibelanjakan untuk rawatan penyakit itu.
Perbelanjaan itu mewakili 13.89 peratus daripada RM9.65 bilion yang dibelanjakan Kementerian Kesihatan bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).
Perbelanjaan itu merangkumi perbelanjaan kemasukan ke hospital, penjagaan primer di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan dan ujian kesihatan serta pembiayaan perubatan.
PERHATIAN
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, trend peningkatan itu perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh Kementerian Kesihatan kerana ia menunjukkan bidang rawatan dan pencegahan kanser perlu ditambah baik dengan segera.
“Sebagai contoh, kadar kelangsungan hidup bagi kanser payudara di negara ini sebenarnya tidak begitu bagus berbanding negara-negara lain dan kadarnya lebih rendah daripada yang sepatutnya.
“Namun, Kementerian Kesihatan masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi memastikan NCD seperti kanser ini tidak terus membebankan kewangan negara,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, beban tersebut boleh dikurangkan dengan menambah bilangan pakar supaya Kementerian Kesihatan dapat menangani peningkatan kes kanser dengan lebih efektif.
“Penting untuk menambah bilangan kaunselor kesihatan dan pakar-pakar yang tidak mencukupi supaya kita dapat memperbaiki sistem kesihatan negara.
“Ini membolehkan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada soal rawatan, pendidikan awam, gaya hidup, pemakanan seimbang, senaman bagi menangani isu seperti obesiti, sakit jantung, kencing manis dan kanser,” katanya.
PESAKIT
Ketika ini, majoriti pesakit yang diagnosis kanser membabitkan pesakit berada pada tahap tiga dan empat iaitu 64.1 peratus berbanding hanya 20.6 peratus pada tahap dua serta 15.3 peratus pada tahap satu, dengan 55.4 peratus adalah dalam kalangan pesakit perempuan, dan 48.2 peratus pula dalam kalangan pesakit yang berusia antara 25 hingga 59 tahun.
Sejak lima tahun lalu, kanser utama yang berlaku dalam kalangan penduduk Malaysia adalah kanser payudara, kanser kolorektal dan kanser paru-paru, malah usia pesakit kanser semakin menurun berbanding 10 tahun dahulu, apabila ramai pesakit berusia 50-an tetapi kebelakangan ini ramai pesakit kanser dikesan dalam usia seawal usia 30-an atau 40-an.
Sementara itu, Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM), Dr. M. Murallitharan berkata, faktor kurang pendedahan dan pengetahuan menjadi punca utama bilangan kes kanser meningkat dan ia dijangka meningkat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang jika kerajaan tidak melakukan intervensi yang berkesan.
“Kesedaran dan pengetahuan yang lemah mengenai tanda dan simptom kanser berkemungkinan menyumbang kepada kelewatan dalam mendapatkan bantuan, diagnosis dan rawatan, seterusnya membawa kepada kadar kelangsungan hidup yang rendah,” katanya.
Institut Kanser Negara merekodkan jumlah tertinggi dalam kedatangan pesakit rawatan harian tertinggi pada 2022 iaitu 17,087, jumlah kedatangan pesakit luar mencatatkan 51,784 serta menyaksikan 62.15 peratus kapasiti kadar penggunaan katil, jumlah tertinggi berbanding mana-mana tahun sebelum ini.- UTUSAN










