Larang individu lahir selepas 2025 hisap rokok, vape - Utusan Malaysia

Larang individu lahir selepas 2025 hisap rokok, vape

GEG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang membuat pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan membuat peruntukan baharu melarang individu yang lahir pada 1 Januari 2025 dan seterusnya bagi merealisasi peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) .

Pengamal undang-undang percaya, peruntukan GEG kepada generasi yang belum lahir dipercayai dapat mengurangkan risiko mana-mana individu mencabar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tentang hak kesamarataan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, larangan tersebut lebih praktikal kerana mereka belum dilahirkan ketika GEG diwujudkan berbanding peruntukan asal kepada mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007.

“Oleh kerana mereka sudah lahir sebelum undang-undang wujud, maka mereka ada hak untuk merokok seperti mana generasi yang lahir sebelumnya.

“Mereka (individu lahir selepas 2025) boleh cuba mencabarnya, tetapi, saya percaya peluang dari prinsip perundangan, Perlembagaan, tadbir urus negara dan konsep kehakiman terlampau tipis kerana sebelum mereka lahir undang-undang itu sudah diluluskan,” katanya ketika dihubungi semalam.

MEROKOK

Menuru beliau, Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini juga tidak mengatakan tidak boleh ada undang-undang yang mengharamkan masyarakat merokok tetapi hanya RUU asal meletakkan individu lahir selepas 2007 itu mungkin akan dicabar di mahkamah.

Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak pula berharap, peruntukan baharu dalam dalam RUU tersebut dapat dilaksana bagi melahirkan generasi akan datang bebas rokok dan vape sekali gus meningkatkan tahap kesihatan rakyat negara ini.

“Saya rasa cadangan ini boleh memberi satu lagi harapan untuk negara mempunyai undang-undang yang melarang generasi akan datang daripada kancah rokok. Kami akan menyokong sepenuhnya jika kerajaan menyahut cadangan ini demi kesihatan seluruh masyarakat.

“Pada masa sama, harus ada penguatkuasaan kerana kerajaan amat menitikberatkan soal cukai hasil rokok dan vape. Jangan berlaku keadaan menyaksikan aktiviti penyeludupan rokok berleluasa kerana larangan merokok,” katanya.

Parlimen sebelum ini meluluskan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang antaranya melarang penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

Ia juga menyaksikan pengguguran peruntukan GEG iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Bekas Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat bulan lalu memberitahu, kerajaan terbuka untuk mengembalikan GEG pada masa akan datang. Bagaimanapun, jawatan Menteri Kesihatan kini disandang Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad selepas rombakan Kabinet, 12 Disember lalu.

Pada 9 Disember lalu, Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Dr. Pamela Yong menggesa kerajaan mempertimbang semula pelaksanaan peruntukan GEG dalam RUU tersebut yang diluluskan bulan lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN