KPKT perhalusi isu setinggan Johor, bina lebih banyak PPR - Utusan Malaysia

KPKT perhalusi isu setinggan Johor, bina lebih banyak PPR

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR menunjukkan suis rumah bagi orang kurang upaya (OKU) sambil diperhatikan oleh Mohd Jafni pada Majlis Penyerahan PPR Cahaya Senibong di Permas Jaya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu 10,301 unit setinggan yang dikesan di 134 buah kampung di seluruh negeri ini.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, Johor Bahru merekodkan jumlah penempatan setinggan tertinggi, iaitu sebanyak 8,793 unit, diikuti Batu Pahat (522), Pontian (503) dan Kulai (132).

Justeru, perkara itu akan diperhalusi oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

“Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah contoh pembangunan rakyat yang memang kita sasar untuk kegunaan B40. Inisiatif PPR ini dilihat dapat membantu sedikit sebanyak menyelesaikan masalah setinggan di peringkat kerajaan negeri.

“Jadi, saya harap supaya kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk memberi sedikit ruang bagi menempatkan penduduk di kampung setinggan berpindah ke PPR yang baharu dibina,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan PPR Cahaya Senibong, Permas Jaya, di sini hari ini.

Projek PPR Permas Jaya itu telah dijenamakan semula menjadi PPR Cahaya Senibong sempena dengan lokasinya yang terletak di kawasan Senibong dan pengisian bagi PPR ini adalah secara sewaan.

PPR Cahaya Senibong yang diberikan kepada rakyat secara sewaan itu dibangunkan di atas tanah seluas tiga hektar dan menyediakan 400 unit rumah pangsa berbilang tingkat berkeluasan 700 kaki persegi melibatkan kos keseluruhan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM85.8 juta.

Penempatan itu turut dilengkapi kemudahan seperti taska, tadika, dewan serbaguna, surau, unit kedai dan gerai untuk kemudahan penduduk setempat dan kawasan sekitar.

Dianggarkan 200 unit rumah yang dilengkapi tiga  bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur itu dikhaskan untuk penduduk setinggan dari Kampung Seri Makmur dan Kampung Dato’ Hajah Hasnah, di sini.

Akmal memberitahu, sebanyak 21 projek PPR telah dan sedang dilaksanakan di Johor yang merangkumi 13 projek siap (11,595 unit), enam projek masih dalam pembinaan (2,830) dan dua projek dalam perancangan (900 unit).

Sementara itu, Mohd. Jafni berkata, proses penempatan setinggan tersebut akan melalui proses tapisan yang ketat dengan keutamaan diberi kepada rakyat negeri ini.

Katanya, keutamaan akan diberi kepada mereka yang sudah berada dalam senarai menunggu dan selepas itu rumah setinggan lama akan dirobohkan pihak berkuasa bagi memastikan tiada lagi yang menghuni semula rumah setinggan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya