JOHOR BAHRU: Seorang wanita tempatan mengalami kerugian lebih RM1.08 juta kerana diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai ‘pegawai polis’.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada kerani berusia 45 tahun memaklumkan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa seorang pegawai polis memberitahu akaun banknya terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram pada awal November lalu.
“Individu yang menyamar sebagai pegawai polis itu menawarkan diri untuk membantu pengadu dengan mengarahkannya menyerahkan butiran akaun bank yang dimiliki termasuk akses terhadap perbankan dalam talian.
“Butiran itu diberikan kepada suspek kononnya sementara siasatan polis dijalankan. Pengadu mengikut arahan suspek untuk memindahkan semua wang miliknya ke akaun bank yang diserahkan suspek. Pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas mendapati wang berjumlah RM1,086,350 miliknya dikeluarkan daripada akaun dan suspek gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kumar memberitahu pihaknya turut menerima satu laporan oleh seorang warga emas berusia 70 tahun mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud, semalam.
Mangsa yang juga pesara syarikat swasta memaklumkan menerima panggilan daripada seorang individu pada September lalu.
“Pengadu mendakwa individu berkenan daripada sebuah syarikat yang menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat. Pada peringkat awal, pengadu cuba melabur dengan nilai yang kecil dan menerima keuntungan yang dijanjikan, menyebabkan pengadu percaya dengan skim pelaburan terbabit dan membuat pelaburan secara berperingkat sehingga berjumlah RM1,204,363.
“Pengadu menyedari dia ditipu selepas mendapati wang keuntungan atas pelaburannya tidak dapat dikeluarkan atas pelbagai alasan termasuk diarahkan membuat bayaran-bayaran lain,” katanya.
Kedua-dua kes yang melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM2,290,713 itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kumar menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam urusan membabitkan transaksi kewangan.
“Orang ramai juga diseru untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian ‘Semak Mule’ sebelum membuat sebarang pembayaran serta muat turun aplikasi ‘Whoscall’ bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 dengan segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun. – UTUSAN