Kastam rampas dadah bernilai RM16 juta - Utusan Malaysia

Kastam rampas dadah bernilai RM16 juta

SAZALI Mohamad menunjukkan dadah yang dirampas JKDM dalam dua kes berasingan pada 8 dan 21 November lalu pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat di Kampung Jijan, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa berjaya ditumpaskan selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah bernilai hampir RM16 juta berjaya dalam dua kes berasingan pada 8 dan 21 November lalu.

Serbuan berkenaan telah dilakukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM dengan kerjasama Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, dalam kes pada 21 November lalu, lebih kurang jam 3.50 petang, sepasukan anggota kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita lima tong berwarna biru yang ditinggalkan di hujung jalan mati di sebuah perumahan di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan menjumpai serbuk putih disyaki dadah berbahaya jenis ketamin yang berat kasarnya 260 kilogram (kg) bernilai RM15.6 juta.

“Daripada siasatan awal berdasarkan label nombor rujukan di tong-tong tersebut mendapati dagangan ini masuk menggunakan laluan udara dari Lapangan Terbang Ahmedabad, Gujarat India dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai destinasi akhir, sebagai modus operandinya.

“Dagangan tersebut bagaimanapun telah diikrarkan sebagai bahan kimia yang tertakluk kepada keperluan permit import daripada pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat di Kampung Jijan di sini hari ini.

Beliau menambah, curiga dengan penghantaran lima tong tersebut oleh ejen penghantaran itu, JKDM telah melakukan penjejakkan lanjut dan telah membawa kepada penemuan maklumat dua lelaki yang dipercayai merupakan suspek utama dalam kes berkenaan.

“Individu berkenaan dikenali T. Thangarajh, 30, beralamat terakhir di Rumah Pangsa 610, Jalan Pandan Indah 5/20, Kuala Lumpur dan S. Selvaraj, 36, beralamat terakhir Taman Esplanad Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Kami percaya selain dua individu tersebut, ada lagi saki-baki ahli sindiket terlibat dan pihak berkuasa akan terus melakukan siasatan lanjut.

“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, dianggarkan seramai 1.3 juta orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah. Sehubungan dengan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada 8 November lalu, Sazali berkata, rampasan dadah jenis Methamphetamine dengan berat 12 kg berjaya dilakukan hasil risikan dan maklumat yang diterima.

“Bertindak atas maklumat, Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menahan seorang lelaki warganegara asing di lot parkir restoran makanan segera di Sijangkang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan menjumpai sebuah beg berwarna hitam di tempat duduk belakang disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat 12 kg dan dianggarkan bernilai hampir RM400,000.

“Bertindak atas maklumat, satu operasi khas telah dijalankan dan membawa kepada penahanan seorang suspek bagi kes ini. Sebuah kereta sedan jenis Toyota Camry turut disita.

“Maklumat yang diterima mengesahkan bahawa dadah ini akan dibawa ke negara jiran menggunakan laluan laut melalui Port Dickson. 

“Suspek telah dituduh di mahkamah pada 22 November 2023 di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan.

“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, dianggarkan seramai 60,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN