PETALING JAYA: Lima syarikat yang membentuk ‘kartel makanan ayam’ untuk tujuan menetapkan harga, sekali gus membawa kesan kepada harga ayam di pasaran dikenakan denda sebanyak RM415.5 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Syarikat-syarikat tersebut adalah Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn. Bhd. (Leong Hup), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn. Bhd. (Gold Coin), Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd. (Dindings) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. (PK Agro).
PERJANJIAN
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, siasatan di bawah Seksyen 14(1) Akta Persaingan 2010 (Akta 712) sejak November 2021 hingga Jun 2022 mendapati, lima syarikat itu terlibat dalam perjanjian penetapan harga dan amalan bersama berkenaan harga makanan ayam di Malaysia.
Katanya, sepanjang siasatan, MyCC telah menjalankan serbuan, pengambilan pernyataan, permintaan maklumat dan analisis mendalam terhadap data yang diperoleh yang mendedahkan wujudnya potensi gangguan dalam pasaran makanan ayam.
Katanya, siasatan juga mendedahkan satu siri pelbagai bukti dalam bentuk pengumuman harga, corak harga dan komunikasi dalam kalangan syarikat terlibat.
Berikutan itu, kata Iskandar, dari Julai hingga Oktober 2022, MyCC telah mengeluarkan keputusannya dan memberi peluang kepada lima syarikat itu mengemukakan representasi bertulis pada Disember tahun lalu hingga Januari lalu.
“Sehubungan itu, MyCC berhak mengenakan penalti kewangan tidak melebihi 10 peratus daripada pusing ganti seluruh dunia atau arahan lain yang difikirkan sesuai di bawah Akta 712.
“Berdasarkan pengiraan terperinci yang dilakukan oleh MyCC, perusahaan-perusahaan tersebut dikenakan penalti kewangan berjumlah RM415.5 juta,” katanya.
TERBESAR
Denda terbesar dikenakan terhadap Leong Hup iaitu sebanyak RM157 juta, diikuti Gold Coin (RM97.5 juta), Dindings (RM70 juta), PK Agro (RM47.8 juta) dan FFM (RM42.6 juta).
Sebelum ini, Utusan Malaysia beberapa kali mendedahkan perancangan-perancangan kartel ayam yang cuba mempengaruhi pasaran sehingga menyebabkan harga bekalan mentah tersebut meningkat naik dan membebankan rakyat.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata, selain daripada penalti kewangan, syarikat terbabit juga perlu mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh MyCC.
“MyCC mengeluarkan Perintah Berhenti dan Hentikan iaitu semua syarikat perlu menghentikan penyertaan daripada terlibat dalam kartel makanan ayam, mereka juga perlu menyediakan Laporan Bulanan Harga Makanan Ayam.
“Selain itu, FFM, Gold Coin, dan Dindings perlu meningkatkan tahap program latihan pematuhan undang-undang persaingan mereka dan mendaftarkan pekerja dan ahli lembaga mereka.
“Manakala, PK Agro dan Leong Hup perlu mendaftarkan pekerja-pekerja dan ahli lembaga mereka dalam program pematuhan undang-undang persaingan.
“Perusahaan-perusahaan tersebut perlu memasukkan peruntukan dalam Kod Tingkah Laku yang mengakui bahawa keterlibatan di dalam pelanggaran Undang-undang Persaingan sebagai salah laku,” jelasnya. – UTUSAN










