KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap penduduk di negeri bersikap jujur dan tidak menipu sebagai mangsa banjir dengan berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) semata-mata mahu mendapatkan bantuan sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
Menteri Besar , Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, PPS itu hanya disediakan untuk penduduk yang terjejas dengan banjir berlindung buat sementara waktu.
“Buat masa ini perkara itu sekadar satu dakwaan dan perlu disertakan dengan bukti yang jelas. Kalau dia dakwa orang ini tidak terlibat dengan bencana banjir dia kena buktikan dan jika betul orang didakwa itu bukan mangsa banjir tindakan mesti diambil kerana PPS hanya untuk mangsa banjir. Itu jelas.
“Kita harap tidak berlaku seperti didakwa dan yang berdaftar di PPS itu semua mangsa banjir yang sebenar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sanjungan Budi, Sentuhan Abadi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di sebuah hotel, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu menjelaskan setiap PPS mempunyai Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang akan menguruskan pendaftaran masuk mangsa-mangsa banjir.
Katanya, jawatankuasa berkenaan turut bertanggungjawab memastikan mereka yang dipindahkan atau berpindah ke PPS benar-benar terlibat dengan bencana banjir atau sebaliknya.
“Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab mengawasi setiap mangsa-mangsa banjir yang masuk ke PPS sama ada dipindahkan atau berpindah sendiri.
“Jawatankuasa itu juga ada kuasa untuk menyiasat sebarang dakwaan mengatakan ada pihak menipu menjadi mangsa banjir. Lagipun penggawa dan penghulu tahu setiap mangsa banjir yang dipindahkan atau berpindah ke PPS,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan sebilangan penduduk di negeri ini didakwa sanggup menipu dengan berpindah ke PPS sedangkan kediaman mereka tidak terkesan atau dinaiki air pada paras amat cetek.
Malah turut didakwa ada dalam kalangan mereka turut memanggil anak dari luar daerah lokasi banjir untuk pulang dan berpindah ke PPS semata-mata untuk merebut bantuan RM3,500 bagi setiap keluarga yang disediakan oleh kerajaan.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) (PPNK ICU JPM) menyerahkan kepada jawatankuasa PKOB untuk menyiasat dakwaan mangsa banjir menipu untuk mendapatkan bantuan.
Pengarahya, Jasri Kasim berkata, siasatan adil dan menyeluruh perlu dilakukan dalam merungkai isu tersebut secara tuntas.-UTUSAN










