Johor jamin sumbangan Palestin sampai - Utusan Malaysia

Johor jamin sumbangan Palestin sampai

MOHD. FARED MOHD. KHALID (kiri) menerima sumbangan Palestin yang disampaikan oleh Saiddin Othman di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memberi jaminan semua sumbangan yang diterima dalam kempen solidariti Palestin akan disalurkan kepada penduduk Gaza yang sedang dilanda serangan rejim Zionis.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, sumbangan tersebut disampaikan pihaknya menerusi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin kelolaan Kementerian Luar Negeri.

Menurutnya, setakat 19 November lalu, pihaknya telah menyerahkan sebanyak RM2.58 juta sumbangan rakyat negeri ini.

“Alhamdulillah, 100 peratus kutipan kita terima disampaikan kepada kementerian dan saya yakin jumlah itu juga sampai kepada penduduk Gaza sepenuhnya,” katanya selepas menerima sumbangan daripada penduduk Felda Pengeli Timur yang disampaikan Pengerusi Masjid Darun Nadwa, Saiddin Othman.

Sehubungan itu, Mohd. Fared menasihati orang ramai supaya memilih institusi yang diabsahkan untuk menyalurkan sumbangan mereka demi manfaat rakyat Palestin.

“Saya seru rakyat Johor orang awam supaya terus salurkan sumbangan kepada tabung Palestin di bawah Kementerian Luar Negeri berbanding mana-mana pertubuhan atau orang perseorangan yang  mendakwa ada akses ke Gaza atau Tebing Barat.

“Kita mesti yakin dengan kementerian dan itulah yang kerajaan Johor lakukan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau turut memberitahu pihaknya masih menerima sumbangan daripada pelbagai pihak dan akan memaklumkan jumlah kutipan terkini pada pertengahan Disember ini.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu sesi sidang DUN Johor hari ini turut menerima kunjungan seramai 15 pemerhati terdiri daripada mahasiswa Palestin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN