Jika Samsuri terajui Pas, parti  itu lebih terbuka, relevan - Kit Siang - Utusan Malaysia

Jika Samsuri terajui Pas, parti  itu lebih terbuka, relevan – Kit Siang

kit siang
LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesediaan Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Pas dan memberi laluan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar susulan kemenangan besarnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sedang ditunggu-tunggu.

Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Abdul Hadi sedia meletakan jawatan bagi membolehkan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu itu mengambil alih kerusi nombor satu Pas.

Kata beliau, sekiranya Ahmad Samsuri mengambil alih Pas ia akan menjadi sebuah parti yang bersifat lebih moderat dan terbuka.

“(Ia akan) menjadi sebuah parti yang menolak ucapan kebencian, penipuan, fitnah, dan berita palsu, perkara-perkara yang sudah menjadi sinonim dengan Pas sejak meninggalkan Pakatan Rakyat pada tahun 2015?

“Samsuri adalah seorang jurutera aero-nautikal. Adakah dia akan membawa Pas ke dalam satu era yang lebih relevan dengan realiti dan keperluan Malaysia?” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan, Ahmad Samsuri meraih majoriti sebanyak 37,220 undi berbanding majoriti yang diperoleh penyandang kerusi itu sebelum ini iaitu 27,179 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15, tahun lalu.

Jumlah undi yang diperoleh Ahmad Samsuri setakat ini adalah sebanyak 64,998 undi sementara calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hanya memperoleh 27,778 undi.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, masa depan Malaysia amat gelap sekiranya salah satu parti pembangkang utama di Parlimen dipimpin oleh Ahli-Ahli Parlimen yang masih tidak tahu membezakan fakta dan fitnah.

“Termasuklah yang memegang ijazah doktor falsafah, yang buta media dan mereka yang gagal untuk membezakan antara kebenaran dan penipuan atau mengenal pasti fitnah, berita palsu, dan perkara yang tidak tepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN