PETALING JAYA: Peningkatan angka kematian rakyat Palestin di Gaza selain ancaman keselamatan terhadap orang awam di tempat terbuka menyebabkan jenazah mangsa kekejaman rejim Zionis terpaksa dikebumikan di mana-mana saja.
Itulah keadaan terkini di Semenanjung Gaza khususnya di kawasan sebelah utara wilayah tersebut apabila rakyat Palestin terpaksa mengebumikan ahli keluarganya yang meninggal dunia bukan saja di tepi pasar bahkan di celah-celah lorong.
Tindakan itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan ancaman penembak tepat rejim Zionis yang ditempatkan di sekitar kawasan Jabalia iaitu utara Gaza.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, keadaan di utara Gaza masih lagi tegang disebabkan pertempuran sengit antara pejuang Hamas dengan tentera Israel sehingga hari ini.
Menurut beliau, walaupun rejim Zionis dilihat seperti menguasai sekitar utara Gaza, hakikatnya tentera Israel berdepan tentangan hebat daripada pejuang mujahidin.
“Disebabkan keadaannya masih tegang, jadi orang awam tidak berani untuk keluar dari penempatan pelarian lebih-lebih lagi untuk mengambil jasad ahli keluarga atau sesiapa saja yang meninggal dunia di kawasan terbuka.
“Jika mereka berbuat demikian kemungkinan besar akan menjadi sasaran penembak tepat rejim Zionis yang akan melepaskan tembakan tanpa mengira sesiapa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, ancaman itu menyebabkan kebanyakan mangsa yang meninggal dunia dibawa ‘tinggal’ bersama di kem pelarian untuk sementara waktu atau terpaksa dikebumi di tempat terselindung seperti di celah-celah bangunan.
“Keadaannya sangat menyedihkan. Kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Gaza sudah sangat melampau batas kemanusiaan,” katanya.
Muhammad Nadir berkata, pada hari ke-67 pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Zionis terhadap rakyat Palestin, seramai 18,205 orang sudah meninggal dunia dengan lebih 7,000 lagi hilang dipercayai ‘bersemadi’ di bawah runtuhan bangunan.
“Lebih separuh daripada jumlah tersebut adalah kanak-kanak, wanita dan warga emas. Pada masa sama, hampir 1.9 juta penduduk Gaza hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian di tanah air sendiri.
“Jika operasi ketenteraan oleh rejim Zionis berlanjutan mungkin lebih banyak lagi kematian dilaporkan, lebih ramai pelarian atau mungkin tidak lagi rakyat Palestin di Semenanjung Gaza,” katanya. – UTUSAN










