Hujan lebat lebih tiga jam sebabkan banjir kilat - Utusan Malaysia

Hujan lebat lebih tiga jam sebabkan banjir kilat

BEBERAPA pelajar membantu mengalihkan motosikal daripada ditenggelami banjir di Maktab Sultan Abu Bakar, Jalan Sungai Chat, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hujan lebat lebih tiga jam bermula 1.30 petang menyebabkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dinaiki air.

Jalan yang teruk terjejas ialah Jalan Sungai Chat, Taman Abad, Jalan Ayer Molek dan Tasek Merdeka.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Sungai Chat berhadapan Maktab Sultan Abu Bakar  mendapati air naik sehingga paras pinggang.

Seorang pelajar tingkatan enam atas, Beatrice Voo 19, mengakui terkejut apabila mengetahui banjir melanda di kawasan sekolahnya.

“Ini kali pertama sekolah kami dilanda banjir sehingga sepanjang Jalan Sungai Chat.

“Tak sangka hujan lebat hingga tiga jam boleh menyebabkan banjir yang tak pernah terjadi sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Arshad Harees Muhd. Rashid 18, turut membantu memindahkan motosikal rakan-rakannya ke dalam kawasan sekolah ketika air mulai naik.

Kira-kira 10 pelajar yang menganggotai Unit Bomba, Polis dan St. John sekolah tersebut turut membantu mengalih dan memindahkan motosikal dan melancarkan pergerakan kenderaan di luar sekolah mereka.

Pelajar sesi pagi yang terdiri tingkatan tiga hingga enam atas terpaksa menunggu sehingga air surut untuk pulang ke rumah masing-masing.

Walau bagaimanapun, keadaan mulai reda apabila air mulai surut kira kira pukul 5 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN