PETALING JAYA: Keengganan pemain industri vape menyokong pelaksanaan Generasi Penamat Rokok (GEG) bukan kerana ‘takut’ kehilangan pelanggan tetapi kerana tahap penguatkuasaan yang tidak jelas dan memungkinkan wujudnya pasaran gelap.
Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, pihaknya tidak pernah bimbang mengenai larangan penjualan produk rokok elektronik kepada golongan bawah umur atau kanak-kanak.
“Ramai salah faham apabila kita kata yang GEG akan menyebabkan kerugian kepada industri vape, ia sebenarnya bukan sebab bimbang kekurangan pelanggan tetapi apa kami persoalkan sejauh mana penguatkuasaan GEG yang boleh dilaksanakan.
“Apabila wujud pasaran gelap, mereka boleh menjual kepada golongan bawah umur dan industri vape secara keseluruhan akan dipersalahkan sedangkan kami berdaftar dan berniaga secara sah. Inilah yang berlaku dalam industri rokok ketika ini.
“Jika GEG ini dilaksanakan dan kita melihat pada 50 tahun akan datang, macam mana penguat kuasa nak bezakan mana yang boleh menghisap vape dan siapa tidak boleh? Apakah kita akan minta kad pengenalan setiap daripada mereka?
“Oleh demikian, GEG perlu diperinci daripada segi penguatkuasaan dan dilaksana apabila benar-benar bersedia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kerajaan dicadang membuat pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan membuat peruntukan baharu melarang individu yang lahir pada 1 Januari 2025 dan seterusnya bagi merealisasi peruntukan GEG. – UTUSAN










