PETALING JAYA: Lebih 500,000 rakyat Palestin yang berada di utara Gaza kini terpaksa memakan makanan keldai, lembu dan burung untuk terus hidup selepas tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak sejak 27 Oktober lalu.
Mereka yang berada di Bandar Gaza, Jabalia, Beit Lahia dan Beit Hanoun juga berdepan masalah kebuluran apabila makanan haiwan itu juga hampir kehabisan kerana bekalannya amat terhad.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, mereka yang berada di utara Gaza hanya sempat mendapat bekalan makanan sekitar dua minggu pertama peperangan meletus.
Menurutnya, mereka tidak dapat berpindah ke selatan disebabkan ancaman serangan oleh rejim Zionis terhadap bukan sahaja rakyat Palestin yang berada di kawasan terbuka bahkan ambulan yang membawa pesakit.
“Pada mulanya mereka terpaksa memakan rumput kering yang diberikan kepada lembu namun apabila bahan tersebut sudah kehabisan mereka mula mengisar jagung kuning yang menjadi makanan burung dan keldai untuk dimakan.
“Bantuan kemanusiaan yang masuk melalui Rafah sangat terhad dan hanya untuk kawasan di selatan Gaza. Ia tidak sampai ke utara kerana laluannya dihancurkan oleh rejim Zionis sejak peperangan bermula,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, kebanyakan rakyat Palestin di utara Gaza masih berada di rumah masing-masing manakala sebahagian lagi terpaksa mendapatkan perlindungan di sekolah dan hospital namun hampir semuanya sudah dimusnahkan oleh rejim Zionis.
“Tiada lagi hospital yang berfungsi di utara Gaza semuanya menjadi sasaran tentera Israel. Terlalu ramai mangsa meninggal dunia dalam serangan bom dan ada juga yang menemui ajal di rumah kerana tidak mendapat rawatan.
“Setakat ini, terdapat 130 tanah perkuburan besar tidak rasmi di seluruh utara Gaza. Ia merangkumi kawasan pasar, klinik, hospital bahkan di dalam rumah sendiri.
“Mereka tidak berani untuk keluar dan kebumikan orang tersayang ke tanah perkuburan sebenar kerana mereka tahu akan menjadi sasaran penembak tepat rejim Zionis,” katanya.
Pada masa sama, Sharif berkata, Rafah pula kini menjadi bandar paling sesak dengan menempatkan kira-kira 1.9 juta rakyat Palestin yang berpindah ke kawasan paling selatan di Gaza.
“Kebanyakan mereka terpaksa berlindung di dalam khemah plastik di jalanan dan berhampiran kawasan masjid kerana sekolah, hospital dan bangunan lain sudah pun terlalu padat.
“Bagaimanapun, bandar di sebelah selatan juga seperti Khan Younis sudah tidak lagi selamat. Rumah-rumah dibom dan pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di sana,” katanya. – UTUSAN










