Gaza terkini: Naeem hilang 60 lagi ahli keluarga

Gaza terkini: Naeem hilang 60 lagi ahli keluarga

gaza terkini
PENDUDUK memeriksa kerosakan pada kediaman mereka selepas serangan oleh tentera Israel di Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Ke­tua Pusat Advokasi Cinta Gaza Malaysia (CGM) di Gaza, Naeem Mushtaha kehilangan lebih 60 ahli keluarga besarnya selepas kesemua mereka maut dibedil rejim Zionis sejak meletusnya peperangan Palestin-Israel pada 7 Oktober lalu.

Lebih memilukan, kebanyakan ahli keluarganya dibedil ketika berada di kediaman ma­sing-masing tanpa sebarang ama­ran oleh tentera Israel.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naeem, 23, yang juga anak tiri kepada Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman berkata, dia kehilangan datuk dan neneknya dalam sekelip mata sahaja selepas bom dijatuhkan di kediaman mereka awal bulan lalu.

Menurutnya, insiden itu mengulangi sejarah hitam yang pernah dialaminya apabila bapa kandungnya meninggal dunia akibat kekejaman Israel pada tahun 2008.

“Saya memikul tanggungjawab lebih besar iaitu mendedahkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarbangsa berhubung kezaliman rejim Zionis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Naeem keluar meninggalkan Semenanjung Gaza bagi mengikuti Muhammad Nadir pulang ke Malaysia pada awal Oktober lalu dan sehingga kini masih tidak dapat pulang ke wilayah bergolak tersebut disebabkan peperangan masih berlaku.

Rakan Naeem, Ketua Pusat Budaya Malaysia CGM di Gaza, Shadi Salem, 31, turut berkongsikan pengalaman kembarnya, ayah dan juga saudara-mara lelaki yang ditahan tentera Israel baru-baru ini di Sekolah Khalifa dekat Beit Lahia, Gaza.

Menurutnya, kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila segerombolan tentera Israel datang ke sekolah tersebut yang menjadi kem pelarian sebelum membuat pengumuman supaya semua rakyat Palestin berkumpul.

“Antara yang ditangkap itu adalah kembar saya, ayah dan bapa saudara. Berdasarkan makluman ahli keluarga, mereka sudah dilepaskan namun sehingga kini ayah saya masih tidak dapat dihubungi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN