KUALA TERENGGANU: Pasar Kedai Payang yang sebelum ini meriah dengan pelancong terutama ketika musim cuti kini suram meskipun cuti persekolahan sudah bermula seminggu yang lalu.
Tinjauan mendapati walaupun kehadiran pengunjung meningkat berbanding hari biasa, namun rata-rata peniaga mendakwa hasil jualan kurang memuaskan.
Seorang peniaga cenderamata yang mahu dikenali sebagai Mohd. Adam, 42, berkata, pelancong merosot mungkin ramai menganggap Terengganu kini dilanda banjir.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan pasar yang menjadi tumpuan pelancong lengang tidak seperti musim cuti sekolah sebelum ini.
“Pelancong menganggap Terengganu dilanda musim banjir pada bulan Disember dan itu yang menyebabkan lengang tidak seperti musim cuti sekolah sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Kedai Payang di sini semalam.
Peniaga kain batik, Muhammad Ridzwan Mokhtar, 28, berkata, majoriti pelancong yang datang cenderung untuk berbelanja dengaan cara berhemah ekoran keadaan ekonomi semasa.
Menurut pemuda itu, jumlah pengunjung bagaimanapun dijangka bertambah pada cuti perayaan Krismas yang bermula hujung minggu ini sekali gus diharap kembali memeriahkan lokasi berkenaan.
“Seperti biasa tahun-tahun sebelum ini, lebih ramai pelancong yang datang pada cuti perayaan berbanding cuti persekolahan, jadi memang peniaga di sini berharap cuaca baik pada hujung minggu ini.
“Saya ada buat promosi potongan harga untuk jualan bagi beberapa produk bagi menarik minat pelanggan bermula minggu lalu,” katanya.
Seorang pengunjung dari Shah Alam, Selangor, Muhamad Afiq Tajul Ariffin, 34, pula mengakui faktor cuaca memainkan peranan sebelum dia memilih untuk bercuti ke Terengganu.
“Memang sebelum datang saya akan lihat ramalan cuaca dan memandangkan ramalan cuaca buruk hanya bermula esok (hari ini), saya datang Isnin lalu dan pulang hari ini (semalam) kerana takut terkandas,” katanya. – UTUSAN










