PUTRAJAYA: Kerajaan tidak berhasrat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun jangkitan Covid-19 melonjak dan terkini merekodkan 20,696 kes baharu dengan 28 kematian.
Bagi menghadapi penularan wabak tersebut, Kementerian Kesihatan mengalakkan pengambilan suntikan dos penggalak terutama golongan berisiko tinggi termasuk warga emas dan komorbid untuk mengelakkan komplikasi jika dijangkiti Covid-19.
Walaupun berlaku lonjakan kes baharu namun keadaan masih terkawal selain kadar kematian direkodkan sekitar 0.1 peratus manakala kadar pesakit kategori ketiga, keempat dan kelima hanya tiga peratus atau 619 kes.
Lonjakan kes yang berlaku bukan sahaja dialami negara ini tetapi seluruh dunia dan penularan itu diramalkan terus meningkat dan dijangka berakhir dalam tempoh empat hingga enam minggu akan datang bergantung kepada keadaan.
Bagimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun berlaku lonjakan kes kerajaan tidak bercadang melaksanakan sebarang sekatan termasuk PKP.

“Malaysia memang sedang dilanda peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa minggu lalu.
“Kita harap dapat melalui (fasa peningkatan ini) tanpa perlu melalui sekatan termasuk PKP yang dilaksana pada awal pandemik dahulu. Kita dah tak cakap mengenainya (sekatan) atau akan mengulangi PKP. Sebab banyak yang tanya dan banyak kegusaran di situ,” katanya pada sidang media khas di sini semalam.
PENINGKATAN
Minggu Epidemiologi ke-50 dari 10 hingga 16 Disember menyaksikan peningkatan 62 peratus jangkitan baharu berbanding tempoh sebelumnya dengan 28 kes atau 0.1 peratus kematian, 151 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan 96 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Daripada jumlah 20,696 kes baharu pada minggu lalu, 97 peratus atau 20,077 kes kategori satu dan dua manakala selebihnya iaitu 619 kes atau 3.0 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan lima langkah dan strategi di bawah Pelan Pengurusan Covid-19 dalam berdepan peningkatan kes jangkitan termasuk pengesanan awal kes dan varian SARS-CoV-2.
Strategi kedua membabitkan pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek), sementara strategi ketiga, pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.
“Strategi lain termasuk pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan dan terakhir, pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.
Beliau menegaskan, walaupun terdapat peningkatan kes namun, keadaan semasa di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.
“Ini dengan melihat kadar insiden purata Covid-19 bagi tempoh tujuh hari terawal dalam 100,000 populasi, keduanya kadar kematian purata mengikut tarikh kematian dan kadar kemasukan kategori ketiga, keempat dan kelima,” katanya
BERSEDIA
Buat masa ini, katanya, kemudahan kesihatan sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan termasuk ledakan dan peningkatan kemasukan pesakit ke hospital.
Kata beliau, persediaan turut dilakukan di fasiliti kesihatan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Namun beliau berkata, sebagai langkah kawalan, rakyat perlu terus mengambil berat hal penjagaan kesihatan termasuk mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam yang tertutup.
“Bagi yang bergejala, digalakkan melakukan penilaian kendiri tahap kesihatan serta dinasihatkan tidak hadir ke mana-mana kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menggalakkan pengambilan vaksin dos tambahan terutama kepada golongan yang berisiko tinggi.
Mengulas stok vaksin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan pada sidang akhbar sama berkata, bekalan pelalian itu mencukupi termasuk untuk menampung keperluan dos penggalak dan mana-mana individu yang belum menerima suntikan tersebut.
“Mengenai stok Pfizer (generasi baharu), kita masih dalam proses perolehan sebab benda ini baharu terutamanya dalam versi baharu dan proses ini mengambil masa. Tetapi dengan adanya bekalan sedia ada, ia masih efektif dan boleh melindungi virus buat masa sekarang,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini mana-mana individu yang mendapatkan suntikan vaksin boleh pergi terus ke klinik kesihatan berdekatan atau mendapatkan temujanji melalui aplikasi MySejahtera.
“Buat masa kini tiada keperluan pembukan Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya.
Dr. Muhammad Radzi juga berkata, tiada varian baharu dikesan membabitkan pelancong luar negara khususnya dari China.
“Kita melakukan pemantauan. Tidak ada varian baharu, yang kita temui hanya membabitkan varian sedia ada iaitu Omicron dan sub varian Omicron,” katanya. – UTUSAN










