Bolehkah Kabinet baharu selesai masalah negara? - Utusan Malaysia

Bolehkah Kabinet baharu selesai masalah negara?

PADU perlu lebih mesra pengguna yang mahu mendaftar PADU.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memerlukan anggota pentadbiran termasuk Kabinet yang kuat bagi membolehkan negara mendepani konflik politik dan ketidaktentuan global yang secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada ekonomi dan kesejahteraan Malaysia.

Justeru, rombakan yang menambah anggota Kabinet sehingga 60 orang dengan empat kementerian baharu kelmarin dilihat sebagai persiapan menghadapi cabaran yang memerlukan kerajaan melakukan perubahan drastik ke atas kepemimpinan negara.

Pakar-pakar ekonomi meramalkan tahun depan sebagai `hari-hari mencabar’ terutama dari segi kelembapan ekonomi susulan tekanan inflasi global yang akhirnya menyebabkan banyak negara akan mengetatkan dasar monetari masing-masing.

Walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka meningkat kepada 4.7 peratus pada 2024, namun pelbagai pihak bimbang kesan ketidaktentuan ekonomi ekoran cabaran konflik global sekali gus menuntut sebuah pasukan Kabinet yang mampu menepis kesan-kesan negatif tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan diperlukan agar Jemaah Menteri dapat melaksanakan agenda dan dasar bersesuaian dengan situasi dan cabaran semasa.

Oleh itu, menurut beliau, langkah mengetengahkan gandingan muka lama dan berpengalaman dilihat bertujuan untuk membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi negara daripada jatuh ke kancah kejatuhan ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat.

TEPAT

Kata Jeniri, langkah mewujudkan empat kementerian baharu tepat masanya kerana masing-masing perlu melihat bersandarkan kepada situasi dan perkembangan semasa yang berlaku di peringkat antarabangsa.

“Misalnya kewujudan Kementerian Peralihan Tenaga dan Guna Awam yang dipisahkan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bertujuan membantu menteri bertanggungjawab hanya fokus peranan masing-masing tanpa pertindihan tugas.

“Portfolio Komunikasi dan Digital turut dipecahkan kerana bersandarkan perkembangan semasa dan memandangkan banyak negara sudah menuju aspek ekonomi digital. Jadi Malaysia tidak boleh terlepas dalam perkara ini.

“Sepanjang tempoh setahun lalu, seorang menteri terpaksa melakukan banyak tugas dalam satu kementerian. Misalnya Menteri Komunikasi dan Digital, menterinya juga kena fokuskan soal pemahaman rakyat tetapi pada masa kena juga lihat aspek pendigitalan sekali gus menyebabkan dia tidak dapat fokus tugas,” katanya.

Susulan rombakan Kabinet tersebut menyaksikan bilangan ahli Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri meningkat daripada 55 kepada 60 orang susulan pertambahan empat kementerian baharu melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Selain itu, ia turut melibatkan pembentukan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

KECEKAPAN

Jeniri berkata, perkara sama juga berlaku kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Guna Awam dengan meletakkan Datuk Seri Fadillah Yusof setelah melihat kepentingan kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga hijau sejajar Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NTER) yang dilancarkan pada Julai lalu.

Katanya, peranan itu perlu tumpuan utama kerana banyak negara termasuk Indonesia telah melangkah ke arah peralihan tenaga boleh guna.

Selain itu, beliau berkata, kehadiran muka-muka berpengalaman seperti Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad diharap mampu mengembalikan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan selepas setahun berdepan defisit keyakinan kerana prestasi kurang memberangsangkan terhadap pasukan Kabinet sebelum ini.

Katanya, Kerajaan Perpaduan memerlukan satu pasukan mampu memulihkan ekonomi khususnya masalah kejatuhan nilai ringgit kepada RM4.68 yang memberi implikasi kepada negara kerana menyebabkan kos untuk mengimport barangan melonjak.

Katanya, walaupun terdapat tokoh diletakkan di kementerian tidak berdasarkan kelayakan namun ia bertujuan memberi peluang kepada mereka merangka pelan strategi untuk memberi pulangan besar kepada negara berdasarkan pengalaman masing-masing.

“Misalnya Datuk Seri Johari yang dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, dengan pengalaman dan kepakarannya dalam bidang ekonomi, ia dapat membawa pembaharuan dalam kementerian terbabit khususnya dalam sektor perladangan,” katanya.

KADAR

Sebelum ini, dilaporkan penurunan kadar pengangguran negara yang mencatat 3.5 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 3.6 peratus pada suku tahun keempat 2022, namun ia tidak membantu graduan yang masih menerima gaji dan upah tidak setimpal dengan kelulusan masing-masing.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, rombakan Kabinet tidak semestinya sempurna dan mungkin mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Perikatan Nasional (PN) apabila menambah bilangan menteri kepada 31 orang yang melanggar manifesto PH untuk mengurangkan size Jemaah Menteri.

“Akan ada timbul perasaan tidak puas hati yang merupakan satu lumrah dalam politik. Mungkin ada juga pihak mendakwa tidak mewakili kaum dan komposisi wilayah,” katanya.

Namun paling penting, katanya, kualiti tugas dan penyampaian semua anggota Jemaah Menteri untuk melaksanakan semua tugas dan bekerja sebagai satu pasukan Anwar.

Menurut Sivamurugan, rombakan Kabinet itu juga menggambarkan misi kekal dan tawan Anwar dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang berbaki empat tahun lagi di samping terus memperkasa agenda menjaga keperluan rakyat.

Katanya, perubahan senarai menteri dan timbalan menteri bukan menunjukkan prestasi Kabinet lalu tidak cemerlang sebaliknya bertujuan untuk memperkukuhkan pasukan Anwar dengan melihat situasi dan cabaran ketidaktentuan ekonomi dan politik semasa.

“Kita melihat pecahan kementerian yang bertujuan untuk memantap dan melicinkan perjalanan pentadbiran negara agar agenda rakyat terus diperkasa manakala mampu memenuhi tuntutan rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN