Bekas penyerang Kedah, Rahman Tasu diserang angin ahmar

Bekas penyerang Kedah, Rahman Tasu diserang angin ahmar

ABDUL Rahman Tasu diuruskan oleh isterinya, Asmanida Ismail, 45 ketika ditemui di rumah sewa mereka di Pekan Langgar, Alor Setar. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekas pemain bola sepak Kedah era 90-an, Abdul Rahman Tasu kini menderita angin ahmar setelah diserang penyakit itu buat kali keempat sejak 16 September lalu.

Abdul Rahman, 60, yang bermain pada posisi penyerang ketika bersama skuad Hijau Ku­ning kini hanya berkerusi roda dan perlu diuruskan oleh isteri­nya sepanjang masa.

Dia antara pemain yang berada dalam pasukan Kedah ketika mereka kali pertama menjulang Piala Malaysia menewaskan Si­ngapura pada 1990, selain membantu skuad bola sepak Sukma Kedah memenangi edisi pertama kejohanan itu pada 1986.

Menurut isterinya, Asmanida Ismail, 45, mereka kini bergantung sepenuhnya kepada pencen ilat diterima Abdul Rahman kira-kira RM1,500 sebulan setelah terpaksa berhenti kerja sebagai kerani di Wisma Darul Aman akibat serangan angin ahmar pertama lapan tahun lalu.

“Wang tersebut digunakan untuk keperluan harian suami terutamanya lampin pakai buang, bil utiliti, makan minum kami berdua dan sewa rumah RM250 sebulan,” katanya ketika ditemui di Pekan Langgar, semalam.

BERKOMUNIKASI

Asmanida berkata, selain tidak mampu berjalan, Abdul Rahman tidak lagi boleh berkomunikasi walaupun memahami apa dipertutur orang lain dan masih mengingati kisah lalu.

Katanya, Abdul Rahman masih boleh berjalan menggunakan tongkat serta mampu bercakap walaupun tidak terlalu jelas dan lancar sebelum serangan angin ahmar kali keempat.

“Kali ini saya juga terpaksa berhenti kerja sebagai tukang masak kerana perlu menjaga dan mengurusnya.

“Saya angkatnya ke bilik air, pakaikan lampin dan suapkan makan dan minumnya. Semua urusan memang saya perlu lakukan sendiri kerana kami tinggal berdua dan tidak dikurniakan cahaya mata walaupun sudah berkahwin 15 tahun,” katanya.

Katanya, kesihatan Abdul Rahman semakin merosot sehingga menyebabkan dia hilang selera makan dan hanya mula mahu menjamah makanan iaitu bubur nasi kosong sejak dua hari lepas.

Dalam pada itu, Abdul Rahman masih ingat rakan-rakan seperjuangannya antaranya Muhamad Radhi Mat Din.

Asmanida berkata, suaminya akan sedih dan menangis apabila diajak bersembang mengenai bola sepak dan rakan sepasukannya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Rakyat milik Abdul Rahman iaitu 2212992000 atau menghubungi Asmanida di talian 016-2816689. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×