Banjir Pahang: Jumlah mangsa di PPS SK Felda Kota Gelanggi 1 kekal 78 orang - Utusan Malaysia

Banjir Pahang: Jumlah mangsa di PPS SK Felda Kota Gelanggi 1 kekal 78 orang

PENYELARAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Haris Salleh Hamzah (dua dari kanan) menyampaikan bantuan makanan kerajaan negeri kepada seorang mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1 di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penduduk terjejas banjir di negeri ini yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1 di sini masih kekal 78 orang sehingga pukul 10 malam ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, jumlah penduduk terjejas banjir di PPS itu terdiri daripada 19 buah keluarga mula ditempatkan di situ pada pukul 9 pagi hari ini.

“Pemindahan penduduk terjejas banjir ke PPS itu berikutan kediaman mereka dilimpahi air Sungai Siam akibat hujan lebat sejak semalam.

“Mangsa terus diberi bantuan makanan dan kebajikan tertentu oleh pihak berkuasa beruniform, agensi kerajaan dan Jawatankuasa Bencana Alam Daerah dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya di sini.

Menurut jurucakap tersebut, hanya sebuah PPS sahaja, iaitu di Jerantut dibuka sehingga pukul 10 malam ini, manakala di daerah lain masih belum dilaporkan berlaku kejadian banjir.

“Namun, kita terus berwaspada apabila beberapa batang sungai di negeri ini dilaporkan naik pada paras amaran, iaitu Sungai Tembeling di berdekatan Kuala Tahan mencatat paras 66.30 meter, iaitu tren menurun, manakala Sungai Tembeling di sebuah tempat lagi di Kuala Tahan mencatat 66.53 meter, iaitu tren menaik dan Sungai Tembeling di Kampung Merting mencatat 59.82, tren menaik.

“Turut mencatat paras waspada, iaitu Sungai Dong di Kampung Peruas (133.37 meter), Sungai Pahang di Jerantut Feri (46.38 meter), Sungai Tembeling di Kampung Bantal (104.37 meter), Sungai Pahang di Sungai Yap (48.91 meter) dan Sungai Lembing di Kuantan (38.04 meter) dalam keadaan tren bertahan,” katanya.

Selanjutnya itu, jurucakap tersebut menjelaskan keadaan hujan lebat dan ribut petir dilaporkan berlaku di beberapa tempat mulai hari ini sehingga malam esok.

“Penduduk di pesisir sungai utama dan kawasan rendah di negeri ini diminta memperoleh maklumat tepat dan sahih mengenai banjir daripada pihak berkuasa beruniform, Jawatankuasa Bencana Alam Daerah dan JPKK dari masa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya