KOTA BHARU: Situasi banjir di negeri ini bertambah buruk apabila jumlah penduduk yang terjejas meningkatkan kepada 21,380 orang berbanding 17,378 mangsa semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 8 pagi ini lima jajahan yang terjejas adalah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.
Menurutnya, kesemua mangsa daripada 6,918 keluarga itu sedang berlindung di 68 buah pusat pemindahan sementara (PPS).
“Daripada jumlah itu Pasir Mas merekodkan mangsa banjir paling tinggi apabila seramai 18,289 orang berlindung di 37 buah PPS.
“Diikuti Tumpat (1,507), Kuala Krai (11,36), Tanah Merah (327) dan Gua Musang (118),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana negeri memberitahu, bacaan paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang masih berada pada tahap amaran.
Katanya, Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai), Kusial (Tanah Merah), Tambatan Diraja (Kota Bharu) melepasi paras amaran sementara Sungai Gook di Jenob, Tanah Merah pula pada bacaan berjaga-jaga.
“Lain-lain sungai utama di negeri ini berada pada para normal,” ujarnya.-UTUSAN










