KOTA BHARU: Situasi banjir di jajahan Pasir Mas semakin pulih apabila seramai 3,260 mangsa masih berlindung di sembilan buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Sembilan PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok’deh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, SK Gual Periok, Masjid Mukim Padang Licin, SK Gual Tinggi, SK Sri Kiambang, SMK Gual Periok, Madrasah Tasek Bakong dan SK Kedai Tanjong.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana negeri dalam satu kenyataan, kesemua mangsa itu dari 989 keluarga.
“Setakat ini hanya Sungai Golok di Rantau Panjang sahaja yang masih melepasi paras bahaya iaitu 9.07 meter berbanding normal lima meter.
“Bagaimanapun, tren paras air Sungai Golok itu terus menurun dibantu oleh keadaan cuaca yang semakin baik ketika ini,” katanya.
Ujarnya, bagaimanapun Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dan Sungai Kelantan di Tangga Krai berada di paras berjaga-jaga.
“Sementara, Sungai Kelantan di Kuala Besar melepasi paras amaran. Sunga-sungai utama lain berada pada paras normal,” katanya.-UTUSAN










