KOTA BHARU: Banjir yang melanda jajahan Pasir Mas ketika ini semakin pulih apabila sermai 1,357 mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing susulan cuaca di daerah Pasir Mas semakin baik.
Sekretariat Pengurusan Bencana negeri dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 4 petang ini seramai 3,807 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 5,164 orang pagi tadi.
Menurutnya, kesemua mangsa itu terdiri daripada 1,162 buah keluarga masih berada di 12 PPS.
“Bagaimanapun dua buah PPS telah ditutup sepenuhnya iaitu Masjdi Lubok Gong dan SK Gual Sitok. Daripada jumlah tersebut Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh menempatkan mangsa paling ramai iaitu 901 orang diikuti SK Gual Periok (511), Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial (507), SK Sri Kiambang (421) dan SK Sri Rantau Panjang 2 (286).
“Selain itu, PPS Masjid Mukim Padang menjadi tempat berlindung kepada 258 mangsa, SK Lati (224), SK Gual Tinggi (206), Madrasah Tasek Bakong (194), SMK Gual Periok (144), SK Kedai Tanjong (81) dan Sekolah Menengah Ugama Arab Pohon Buluh (74),” katanya.
Dalam pada itu, Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi bacaan paras bahaya walaupun semakin menurun.
Bagaimanapun, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pada bacaan berjaga-jaga.
Lain-lain sungai utama di negeri ini berada pada tahap normal.-UTUSAN










