Awasi ‘amukan’ kartel ayam

Awasi ‘amukan’ kartel ayam

KERATAN Utusan Malaysia keluaran Sabtu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain-pemain industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bimbang hukuman denda yang dikenakan ke atas lima syarikat yang membentuk ‘kartel makanan ayam’ memberi kesan negatif terhadap pasaran dan bekalan ayam negara.

Ketika ini, Mingguan Malaysia difahamkan, penternak-penternak kecil sudah mula mengurangkan kapasiti pengeluaran susulan bekalan anak ayam yang tidak sihat dan berpenyakit dipercayai berpunca daripada kualiti makanan yang menurun.

BIMBANG

Sumber dalaman industri yang enggan namanya didedahkan berkata, penternak-penternak kecil semakin bimbang selepas Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan denda kepada ‘kartel makanan ayam’ itu kerana ia boleh membawa kesan kepada kumpulan mereka.

Katanya, kerajaan perlu bersedia dengan ‘langkah seterusnya’ terutama dalam soal pasaran selepas mengenakan denda terhadap lima syarikat pengeluar terbesar makanan ternakan tersebut.

“Memang wajib mereka dikenakan denda sekiranya didapati bersalah tetapi saya berharap kerajaan mempunyai langkah seterusnya dengan sebarang kemungkinan selepas ini.

“Apa yang sudah jelas kualiti makanan ayam menurun sejak kerajaan menarik subsidi, kami sebagai penternak terkesan ke­rana ia mengakibatkan masalah tumbesaran ayam iaitu lewat sehingga empat hari untuk mencapai standard pembesarannya.

KAPASITI

“Ada sebahagian daripada penternak kecil sudah mula mengurangkan kapasiti ternakan kerana tidak lagi sanggup menanggung kerugian disebabkan kualiti yang terjejas. Sebagai contoh, satu tahun mereka buat enam musim tetapi sekarang jadi lima ke empat musim sahaja.

“Ini kerana apabila anak ayam sudah tidak berkualiti disebabkan makanannya, mereka akan kena penyakit. Apabila itu berlaku anak ayam tidak boleh masuk reban awal dan kami terpaksa berehat untuk satu ke dua bulan bagi memastikan penyakit tu sudah tiada.

“Ini hanya disebabkan subsidi ditarik sahaja, bagaimana pula selepas kerajaan mengenakan denda tersebut? Adakah akan menjadi lebih teruk? Apa yang akan jadi pada pasaran menje­lang tahun depan?” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, lima syarikat yang membentuk ‘kartel makanan ayam’ untuk tujuan menetapkan harga, sekali gus membawa kesan kepada harga ayam di pasaran dikenakan denda sebanyak RM415.5 juta oleh MyCC.

Mengulas lanjut, sumber bekata, sekiranya berlaku keadaan ketiadaan ayam di pasaran serta kenaikan harga yang melampau sekali lagi, ia menyebabkan penternak-penternak kecil tersepit antara kerajaan dan kartel.

“Apabila pasaran disabotaj, kerajaan sudah pasti membuka banyak permit import (AP) ayam bagi menstabilkan pasaran dan menurunkan harga. Ini bagus untuk rakyat tetapi tidak untuk kami,” katanya.

SENARAI HITAM

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti kartel perlu disenarai hitam dan ditarik semula lesen perniagaan mereka, bukan sekadar dikenakan denda.

“Itu hanya segelintir daripada yang terlibat dengan kartel ayam ini. Jika kerajaan benar-benar ingin memberi amaran, jangan bertoleransi dengan golongan-golongan ‘tangan hitam’ ini dan senarai hitamkan mereka, malah kenakan tindakan mahkamah,” tegasnya.

Beliau turut bimbang dengan risiko penternak kecil menerima kesan dan berharap sudah bersedia dengan langkah untuk menanganinya.

“Apabila gajah bertembung dengan gajah, si kancil di tengah-tengah yang mati. Ini gambaran yang dihadapi oleh penternak kecil. Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik dan buktikan bahawa mereka serius untuk menangani isu ini berbanding pentadbiran terdahulu.

“Kerajaan boleh memberi fokus kepada penternak-penternak kecil dan bantu menyelesaikan masalah mereka. Beri sokongan supaya mereka boleh membesar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN