ASEAN, Jepun sepakat tolak kekerasan - Utusan Malaysia

ASEAN, Jepun sepakat tolak kekerasan

Anwar Ibrahim bersama pemimpin-pemimpin negara ASEAN dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida selepas Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun di Tokyo semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin ASEAN dan Jepun bersepakat menolak ancaman dan kekerasan dalam menyelesaikan sebarang pertikaian dan perbezaan pendapat bagi menghormati kedaulatan dan integriti wilayah masing-masing.

Dalam kenyataan bersama, pemimpin-pemimpin negara ASEAN dan Jepun berikrar untuk terus mengukuhkan kerjasama demi kepentingan bersama di Indo-Pasifik.

“Kami mengesahkan pandangan bersama untuk mempromosikan wilayah Indo-Pasifik berasaskan peraturan yang bebas dan terbuka (dan) merangkumi prinsip utama seperti perpaduan dan pemusatan ASEAN, keterangkuman (dan) ketelusan,” kata kenya­taan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di Tok­yo semalam.
Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun berlangsung dari 15 hingga 18 Disember. Sidang kemuncak itu turut memperakukan Kenyataan Wawasan Bersama dan Pelan Pelaksanaannya yang akan menjadi dokumen-dokumen panduan untuk melakar hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Jepun untuk masa hadapan.

Dalam kenyataan tersebut, pemimpin-pemimpin ASEAN dan Jepun turut bersetuju untuk terus menguatkan kerjasama ekonomi demi keterjaminan negara masing-masing.

Perkara ini perlu terus dilakukan walaupun negara-negara ASEAN dan Jepun berdepan ketegangan yang semakin memuncak apabila China cuba meluaskan pengaruhnya di kawasan laut di rantau tersebut.

BERBANDING

Kata kenyataan tersebut, hubungan Jepun dan ASEAN kini sudah berubah berbanding masa silam, apabilan kebelakangan ini, hubungan tersebut lebih tertumpu kepada aspek keselamatan terutama di Laut China Selatan bagi memastikan rantau Indo-Pasifik sentiasa berada dalam keadaan makmur di sebalik tekanan negara kuasa besar mahu memperluaskan pengaruhnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di negara matahari terbit itu telah menandata­ngani perjanjian bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida iaitu sebanyak AS$2.8 juta bagi meningkatkan keupayaan keselamatan maritim negara.

Memetik laporan portal berita Jepun, Asahi Shimbun, ia merupakan program bantuan keselamatan rasmi dari Jepun yang baharu, di mana program tersebut khusus untuk membantu ketenteraan negara yang menjalin hubungan baik de­ngan Jepun.

Program tersebut bakal membantu dalam mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang dan keupayaan ke­selamatan negara.

Malah, bantuan tersebut juga termasuk penyediaan bot penyelamat dan peralatan lain untuk meningkatkan keupayaan ketenteraan Malaysia yang terletak di lokasi pen­ting di laluan laut yang menghubungkan Lautan Hindi dan Asia Timur.

Ini menandakan Malaysia memainkan peranan penting dalam operasi amaran dan pe­ngawasan untuk seluruh rantau tersebut.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau menghargai kepen­tingan dan penghargaan di atas peranan dimainkan oleh Jepun untuk perpaduan ASEAN sewaktu intervensi pada Sidang Kemun­cak Peringatan ASEAN-Jepun.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×