RANTAU PANJANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan melakukan pemantauan setiap empat jam untuk melihat perkembangan terkini paras air sungai-sungai utama di negeri ini sepanjang musim banjir.
Pengarahnya Left. Kol (PA) Mohd. Adzhar Mujab berkata, pemantauan itu bagi membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat terkini sekali gus memudahkan penugasan anggota.
Menurutnya, pada masa sama kesemua 970 anggota APM di seluruh sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga membantu penduduk yang terjejas.
“Setakat ini, jajahan Pasir Mas merupakan kawasan yang paling terkesan dengan peningkatan mangsa secara mendadak sejak semalam.
“Bagaimana pun APM sentiasa memantau dari masa ke semasa situasi banjir ini,” katanya ditemui pemberita semasa melakukan tinjauan banjir di sini hari ini.
Mohd. Adzhar lagi memberitahu, Tanah Merah dan Bachok antara jajahan yang terkesan dengan banjir selain Pasir Mas.-UTUSAN