Anjing liar ditangkap kontraktor, NGO wajib dimandulkan - Utusan Malaysia

Anjing liar ditangkap kontraktor, NGO wajib dimandulkan

J. ARUL Kumar ketika menjawab soalan pada sesi pertanyaan lisan hari ketiga, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan telah meluluskan untuk mewajibkan semua anjing yang ditangkap oleh kontraktor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini untuk dimandulkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, kerajaan negeri juga telah menyediakan sejumlah peruntukan untuk memastikan tindakan berkenaan membawa hasil dalam menyelesaikan masalah anjing liar di negeri ini.

“Memang ini satu isu yang yang perlu diambil tindakan, selain daripada tangkapan dilakukan dengan kerjasama NGO di kawasan Seremban dan PBT yang lain, pada bulan lepas MMK telah meluluskan salah satu cara untuk mengawal bilangan anjing liar adalah dengan pemandulan anjing-anjing yang ditangkap,” katanya.

Beliau berkata pada sesi pertanyaan lisan hari ketiga, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Arul Kumar menjawab soalan tambahan Kamarol Ridzuan Mohd. Zain (PN-Paroi) yang ingin tahu langkah jangka panjang kerajaan negeri dalam menangani isu anjing liar yang dilihat sebagai masalah yang sering berulang.

Menjawab soalan asal Kamarol Ridzuan peruntukan kerajaan negeri bagi menangani dan insentif yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri diberikan berkaitan isu anjing liar, beliau memberitahu pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) juga melancarkan Program Insentif Pemandulan Anjing bermula pada bulan September lalu sehingga bulan ini.

“Setiap pemilik anjing berlesen di MBS akan menerima insentif RM100 per ekor (maksimum dua ekor) bagi anjing yang dimandulkan dalam tempoh kempen,” katanya.

Sementara itu, Arul Kumar memberitahu, jumlah anjing liar yang ditangkap di kawasan Seremban dan Nilai sepanjang tahun ini adalah sebanyak 2,177 ekor.

Katanya, bagi kawasan Senawang pula, jumlah aduan anjing bagi tahun 2023 melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) adalah sebanyak 93 dengan tangkapan sebanyak 131 ekor anjing yang membabitkan lima kawasan iaitu Taman Tuanku Ja’afar, Taman Sena Parc, Senawang Perdana, Taman Pinggiran Senawang dan Taman Satria.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya