Naik taraf, selenggara berdasarkan kajian, keadaan jalan - Utusan Malaysia

Naik taraf, selenggara berdasarkan kajian, keadaan jalan

AMINUDDIN Harun (dua dari kiri) turut melakukan cabutan undi pada Majlis Cabutan Kerja Undi Fasa 1 Tahun 2024, Penyenggaraan Jalan Kerajaan Negeri Sembilan Di Bawah Peruntukan Marris di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan akan memastikan kerja-kerja menaik taraf dan selenggara jalan di negeri ini dilakukan berdasarkan keadaan jalan dan kajian dilaksanakan.

Pengarah JKR Negeri Sembilan, Ir. Wan Hasnan Wan Musa berkata, secara umum keadaan jalan di negeri ini masih bukan terlalu baik namun tindakan segera sentiasa diambil berdasarkan aduan yang diterima pihaknya.

“Bagi menaik taraf sesuatu jalan, kajian akan dilakukan termasuk mengenai jumlah trafik, jika didapati perlu naik taraf, ia akan dilaksanakan. 

“Bagi kerja-kerja penyenggaraan pula, tempohnya biasa sekitar lima dan tujuh tahun kena diperbaiki, kalau tidak premix tidak lagi sesuai untuk kenderaan. Jambatan juga akan kami pantau dan periksa setiap tahun,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Cabutan Kerja Undi Fasa 1 Tahun 2024, Penyenggaraan Jalan Kerajaan Negeri Sembilan Di Bawah Peruntukan Marris di Wisma Negeri di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kebanyakan jalan raya di Malaysia menghampiri tempoh jangka hayat yang menyebabkan daya tahannya merosot, sekali gus menjadi punca utama strukturnya mudah rosak dan berlubang.

Mengikut rekod data penyelenggaraan jalan Persekutuan di Semenanjung di bawah kendalian Kementerian Kerja Raya (KKR), dianggarkan 3,821 kilometer jalan mencapai jangka hayat reka bentuk.

Jarak tersebut hampir me­nyamai lima kali perjalanan ulang-alik menggunakan jalan darat dari Johor Bahru ke Perlis.

Ia mewakili 25 peratus daripada keseluruhan 14,918 kilome­ter panjang jalan Persekutuan. Berdasarkan pemerhatian vi­­sual dan kadar kemerosotan jalan, jangka hayat jalan yang dibaiki adalah sekitar lima hingga tujuh tahun. 

Bagi jalan baharu, jangka hayat reka bentuk adalah sehingga 20 tahun, bergantung kepada parameter rekaannya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, mengambil kira situasi itu, terdapat keperluan bagi menaik taraf jalan raya yang menga­lami kemerosotan akibat faktor ‘penuaan’ jalan berkenaan.

WAN HASNAN WAN MUSA

Sementara itu, Aminuddin ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, sebanyak 2,589 kontraktor G1 di Negeri Sembilan telah  berjaya memenuhi syarat serta layak menyertai kerja-kerja undi berkenaan.

“Program cabutan kerja undi peruntukan Marris Fasa 1 ini melibatkan sebanyak 250 bilangan kerja di seluruh Negeri Sembilan, yang mana setiap satunya bernilai RM100,000 dengan kos keseluruhan berjumlah RM25 juta.

“Melalui pendekatan cabutan undi bagi kerja-kerja Marris dan menilai senarai kontraktor G1 yang layak yang dilaksanakan oleh pihak JKR, saya masih meletakkan kepercayaan bahawa senarai-senarai kontraktor ini adalah kontraktor yang boleh menyiapkan kerja yang diberi mengikut masa yang ditetapkan serta mengikut syarat-syarat yang dipersetujui,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×