Amerika Syarikat ketuai pembunuhan rakyat Palestin – Duta

Amerika Syarikat dalang, ketuai pembunuhan rakyat Palestin – Duta

PENDUDUK meninggalkan bandar Khan Younis menuju ke Rafah di sempadan Mesir berikutan tindakan tentera rejim Zionis meningkatkan serangan ke atas kawasan di selatan Semenanjung Gaza, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Ame­rika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan draf resolusi gencatan senjata serangan tidak berperi­kemanusiaan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin membuktikan bahawa AS sebenarnya sedang mengetuai peperangan di Semenanjung Gaza.

Kegagalan AS menyokong draf resolusi gencatan senjata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggap sebagai pengkhianatan terbesar terhadap suara rakyat di pelosok dunia yang mahukan serangan Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan serta-merta.

Walid Abu Ali

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi rakyat Palestin kerana keputusan AS selama ini juga lebih memihak kepada sekutunya iaitu Israel.

BUKA MATA

Bagaimanapun beliau berkata, perkembangan terbaharu itu membuka mata seluruh dunia bahawa di sebalik serangan bertali arus daripada rejim Zionis, pentadbiran AS adalah ‘dalang­nya’.

“AS tidak menghiraukan suara masyarakat antarabangsa khususnya rakyatnya sendiri bahkan hampir 80 peratus penduduk di Eropah yang mahukan gencatan senjata serta-merta di Palestin.

“Ia akan mengundang malapetaka besar terhadap rakyat Pa­lestin yang kini semakin tertekan akibat kehilangan segala-galanya di tanah air sendiri dengan tindakan AS menyalahgunakan kuasa vetonya terhadap resolusi gencatan senjata,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas tindakan AS yang menggunakan kuasa veto­nya untuk menggagalkan resolusi gencatan senjata yang diputuskan pada Majlis Keselamatan PBB kelmarin.

Draf resolusi tersebut dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mendapat sokongan 97 negara lain manakala sekutu AS, United Kingdom (UK) mengundi untuk berkecuali sementara 13 anggota lain menyokong draf tersebut.

OMONG KOSONG

Walid berkata, tindakan AS tersebut membuktikan bahawa hak asasi manusia yang sebelum ini diperjuangkan AS hanyalah omong kosong sedangkan pada hakikatnya hak rakyat Palestin diragut oleh kuasa besar dunia berkenaan.

“Mereka menggunakan kuasa veto yang dimilikinya sebagai ‘senjata’ untuk mempertahankan tindakan Israel membunuh rakyat Palestin secara terbuka,” katanya.

Terbaharu, serangan Israel terhadap Palestin yang sudah masuk hari ke-65 telah mengorbankan lebih 23,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza membabitkan 9,000 kanak-ka­nak dan 5,000 wanita.

Berdasarkan laporan badan pemantau Euro-Med Human Right, seramai lebih 21,000 yang terkorban adalah orang awam 46,000 lagi mengalami kecede­raan akibat serangan rejim Zionis.

Kezaliman rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu itu turut mengakibatkan hampir 1.9 juta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza menjadi pelarian di tanah air sendiri dengan kebanyakan mereka kini berlindung di sekitar Rafah selepas melarikan diri dari kediaman masing-masing.

Mengulas lanjut, Walid ber­kata, kekejaman Israel bukanlah hanya membabitkan rakyat Pa­lestin di Gaza bahkan rejim Zio­nis turut menyasarkan penduduk Palestin di Tebing Barat dengan angka korban kini mencecah 300 orang.

Menurutnya, perang ini bukanlah membabitkan Israel – Hamas seperti yang dilaporkan sebaliknya ia membabitkan ke­seluruhan rakyat Palestin termasuklah di Tebing Barat.

“Kita tidak boleh termakan dengan propaganda Israel bahawa peperangan ini hanyalah untuk menghapuskan Hamas sedangkan hakikat sebenar yang terkorban di Gaza adalah orang awam. Rejim Zionis juga turut melancarkan operasinya ke atas penduduk di Tebing Barat.

“Ini bukan peperangan Israel-Hamas. Ini adalah pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin secara keseluruhannya. Tidak ada yang terkecuali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN